[VIDEO] 4 pesawat Rusia termasuk 2 helikopter tentera ditembak jatuh berdekatan sempadan Ukraine


  • Benua
  • Ahad, 14 Mei 2023

Tangkap layar beberapa video mengenai kejadian membabitkan pesawat Rusia ditembak jatuh berdekatan sempada Ukraine pada Sabtu.

AKHBAR berita Rusia, Kommersant melaporkan dua jet pejuang negara itu dan dua helikopter tentera ditembak jatuh pada hari Sabtu berhampiran sempadan Ukraine.

Menerusi laman webnya, Kommersant berkata, pesawat pengebom Su-34, pesawat pejuang Su-35 dan dua helikopter Mi-8 ditembak jatuh 'hampir serentak' dalam satu serangan hendap di wilayah Bryansk, bersebelahan Timur Laut Ukraine.

"Menurut data awal... pesawat itu sepatutnya melancarkan serangan peluru berpandu dan serangan bom ke atas sasaran di wilayah Chernihiv, Ukraine dan helikopter terbabit berada di sana untuk menyokong mereka," katanya.

Agensi berita negara Rusia, TASS melaporkan, sebuah pesawat perang Su-34 Rusia terhempas di wilayah itu namun tiada sebarang punca didedahkan.

TASS juga memetik seorang pegawai perkhidmatan kecemasan sebagai berkata, kebakaran enjin dalam sebuah helikopter menyebabkan ia terhempas berhampiran Klintsy, lokasi terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari sempadan.

Namun begitu, ia tidak menyentuh mengenai Su-35, atau helikopter kedua.

Sebuah video disiarkan di saluran Telegram pro-perang Russia, Voyenniy Osvedomitel menunjukkan sebuah helikopter sedang berada di udara mengalami letupan sebelum terjunam ke tanah dan terbakar.

Komen mengiringi video itu, yang tidak dapat disahkan oleh Reuters dengan segera berkata, ia menunjukkan Mi-8 ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

Imej lain disiarkan saluran itu menunjukkan kehadiran bangkai kapal di ladang pertanian.

Kommersant tidak memberikan bukti untuk laporannya bahawa empat pesawat telah dijatuhkan, tetapi dakwaan yang sama juga dibuat oleh beberapa penulis blog tentera properang yang berpengaruh.

Pada Sabtu, Gabenor Wilayah Bryansk, Alexander Bogomaz berkata, dron Ukraine menyerang kilang pengeluaran makanan di Starodub, kawasan berhampiran sempadan Ukraine dan merosakkan bumbung bangunan terbabit.

Bogomaz yang menulis di Telegram berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas Bogomaz melaporkan serangan dron ke atas depoh simpanan minyak di wilayah itu.

Kementerian Pertahanan Moscow tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas laporan Kommersant. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram