Strategi baik, pertahanan padat, K Devan akui skuad Jang berhak menang


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Sekitar aksi perlawanan menarik yang ditampilkan oleh pemain NSFC menentang PDRM dalam saingan Liga Super 2023. — MFL

KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan memuji kesungguhan anak buahnya meskipun terpaksa menggunakan sepenuh tenaga tempatan pada 20 minit terakhir untuk menewaskan PDRM FC 2-1 dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Gol kemenangan yang dihasilkan oleh A. Selvan pada masa tambahan itu merentap semangat PDRM FC yang mengharapkan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut Devan, pemain-pemainnya berjaya melakukan tugas dengan baik dan sememangnya mereka perlu memanfaatkan peluang yang ada apabila bertemu dengan pasukan di kelompok bawahan.

“Bukan saya nak merendahkan PDRM, kita juga masih berusaha lebih dalam perlawanan malam ini.

“Saya cuma rasa kita memang berhak menang walaupun kita habiskan permainan dengan semua pemain lokal.

“Kita juga sudah mengatur setiap permainan dengan baik dan dilihat barisan pertahanan juga memang padat," ujarnya.

Hasil kemenangan itu, Negeri Sembilan kini memperoleh 16 mata secara keseluruhan selepas 11 perlawanan untuk berada di tangga keenam liga.

Sementara itu, pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz meluahkan kekecewaan selepas melihat anak buahnya tersungkur dengan lima kekalahan berturut-turut Liga Super musim ini.

“Ia sangat mengecewakan apabila kesalahan pada benda yang sama dan saya percaya kualiti dalam pasukan ini masih kurang.

“Tetapi kredit untuk mereka juga sebab saya percaya mereka sudah lakukan yang sehabis baik.

“Saya berharap pihak pengurusan boleh membawa masuk penyerang kerana kita sangat ketandusan penyerang," katanya.

Beliau mengharapkan kebangkitan pemainnya yang akan menentang Kelantan FC pada 23 Mei di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram