Sekian lama dikecam, Sony Norde jadi hero di Likas ikat Sang Badak


  • Podium
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Penyerang berbisa, Soony Norde meledak dua gol dalam aksi perlawanan ke-11 Liga Super 2023 di Likas. —Facebook / Malaysian Football League

PERTEMBUNGAN antara Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) berlangsung dengan sengit apabila hanya sekadar berkongsi satu mata selepas seri 2-2 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat.

Dalam aksi perlawanan masa pertama menyaksikan barisan pemain TFC berjaya menguji pertahanan tuan rumah dengan membuat serangan yang hampir menyebabkan kesilapan yang memakan diri oleh Sabah FC.

Asakan demi asakan yang dibuat oleh jentera serangan Sang Penyu sedikit mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Sang Badak dengan kehadiran peledak berbisa, Sony Norde yang berjaya membaca gerakan tuan rumah.

WhatsApp Image 2023-05-19 at 23.05.31

Sekitar aksi perlawanan yang menarik di Stadium Likas. — Facebook / Malaysian Football League

The Rhinos tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang berbisa Sabah FC, Telmo Castanheira menggunakan peluang sebaik mungkin iaitu berjaya mencetak gol melalui tandukan pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma daripada Baddrol Bakhtiar.

Tidak lama selepas itu, pasukan tuan rumah lebih garang dalam mendapatkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Darren Lok pada minit ke-37 apabila penjaga gawang TFC, Suhaimi Hussin tidak berjaya menangkap kemas sepakan tersebut.

Namun, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh pemain Sabah FC membuka peluang kepada TFC untuk terus mencetak gol pada minit pada masa tambahan separuh masa pertama menerusi rembatan cantik daripada Sony Norde yang meletakkan Sang Penyu merapatkan jurang gol.

Walaupun TFC dilihat terus membuat serangan pada masa kedua namun usaha itu berjaya digagalkan oleh benteng pertahanan Sang Badak.

Anak buah kendalian Tomislav Steinbruckner nampaknya tidak mahu menyerah kalah apabila serangan bertali arus akhirnya menyebabkan benteng pertahanan Sang Badak semakin longgar.

Penyerang berbisa Sang Penyu dari Haiti itu tidak mahu melepaskan peluang meledak gol kedua pada minit ke-94 selepas pengadil membenarkan enam minit masa tambahan dalam perlawanan tersebut.

Kelincahan pemain itu dilihat sebagai tonik bagi TFC kerana dia menjadi salah seorang pemain yang menggerakkan pasukan untuk memburu gol.

Kedudukan Sabah FC berada pada tangga kelima dengan mengutip 21 mata dalam carta Liga Super dan Terengganu FC di tangga yang ke sembilan iaitu 14 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram