[VIDEO] Taksub buat 'content', pemuda selamba beraksi dalam kolam plastik di tengah jalan, sampaikan jem depan rumah


  • Tular
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tangkap layar seorang lelaki sakan membuat rakaman di tengah jalan raya tanpa menghiraukan pemandu kereta di sebuah kawasan kediaman.

TINDAKAN seorang lelaki yang terlalu taksub menghasilkan video di laman media mengundang kemarahan penduduk apabila laluan di sebuah kawasan perumahan bertukar sesak akibat kelakuannya.

Video tular berdurasi 45 saat di Twitter itu memaparkan perbuatan seorang pemuda berkain pelikat yang leka membuat rakaman dalam sebuah kolam mandi di tengah jalan di deretan rumah teres dua tingkat.

Situasi itu mengakibatkan beberapa kenderaan terpaksa berhenti dan menggunakan laluan sempit di sebelah kiri lelaki terbabit yang sekali gus menjadi punca laluan sesak di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan dengan perkongsian tersebut tidak menyatakan sebarang alamat mahupun tempat insiden itu berlaku.

Meskipun sedar akan kesalahan tersebut, lelaki berkenaan tidak menghiraukan situasi yang berlaku apabila mengarahkan pemandu di situ menggunakan laluan lain dan tidak mengganggu aktivitinya.

Beberapa individu dilihat mula hilang sabar dan keluar daripada kereta masing-masing untuk melihat situasi terbabit.

Namun, difahamkan tiada sebarang pergaduhan dan kecederaan berlaku dalam insiden berkenaan dengan rakaman itu berakhir tanpa kekecohan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengundang kemalangan serta kemarahan masyarakat setempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram