Pol Corpas ingin sertai Selangor FC, dedah status 11 pemain rekrut jendela perpindahan kedua TRW


  • Podium
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Pol Corpas sebelum ini memainkan peranan selaku penolong jurulatih dan juruanalisis video dalam pasukan Kelantan FC.

SELEPAS lebih dua tahun menyumbang bakti di Kelantan FC, penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab daripada pantai timur itu.

Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar memaklumkan perkara tersebut kepada seluruh warga dan penyokong Kelantan FC melalui sebuah hantaran yang menyentuh perasaan di laman instragram miliknya.

Menurutnya, meninggalkan Kelantan FC yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu bukan suatu keputusan mudah dan dia sentiasa mendoakan kejayaan kelab tersebut pada masa hadapan.

Pelbagai spekulasi yang bermain di media sosial menyatakan Pol Corpas akan menyertai Lion City Sailors FC namun jurulatih kelahiran Sepanyol itu menafikannya.

Becakap kepada Majoriti, Pol Corpas menyatakan kesudian untuk menyertai Selangor FC jika terdapat tawaran dan peluang bekerjasama bersama Tan Cheng Hoe dan Roman Marcote.

"Alangkah baiknya jika saya dapat menyertai Selangor FC, kerana berdekatan dengan ibu kota," katanya pada Majoriti.

Ditanya jika ada potensi Marcote membawa dia masuk ke Selangor FC atas kapastiti rakan senegara, Sepanyol, Pol berbesar hati jika pembantu jurulatih Cheng Hoe itu berbuat demikian.

Pol Corpas

Pol Corpas (kanan) sehingga kini masih belum terikat dengan mana-mana kelab.

Tambahnya lagi, untuk pasukan baharu dia mahu mencari kelab yang mempunyai perancangan yang baik demi masa jangka panjang.

"Saya ingin menyertai pasukan yang mempunyai kestabilan projek, pada masa yang sama bercita-cita tinggi, mempunyai rasa hormat, jujur ​​dan telus kepada individu yang berkerja dalam kelab.

"Saya rasa kebanyakan kelab di Malaysia memenuhi keperluan ini, saya seorang yang menyesuaikan diri dengan mana-mana keadaan kerja.

"Buktinya, saya telah bekerja dengan empat jurulatih dari negara yang berbeza dan tiada rasa penyesalan di hari-hari terakhir saya bersama pasukan.

"Saya seseorang yang sukakan pengembaraan, secara umumnya, dalam setiap konteks, setiap kelab di Malaysia adalah positif, tidak perlu melihat jauh, sentiasa ada artikel positif di akhbar tentang bagaimana bola sepak diuruskan di Malaysia," ujarnya.

2031909

Sumareh antara pemain yang dikaitkan untuk beraksi bersama Kelantan FC. Facebook/JDT

Ditanya mengenai perkembangan 11 pemain yang bakal menyertai Kelantan FC, Pol berkata, perkara itu tidak dimaklumkan kepadanya.

Sambil menambah menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super kemungkinan kemasukkan pemain itu mungkin berlaku.

"Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa berkenaan perkara ini kerana pihak pengurusan tidak berkongsi sebarang maklumat kepada saya.

"Tetapi dalam dunia bola sepak, apa-apa boleh terjadi, dan perkara ini juga sesuatu yang tidak boleh dijangka," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram