JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia semakin hampir apabila ia diramalkan akan dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.
Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.
Bintang Thailand berketurunan Jerman, Philip Roller dilaporkan meninggalkan Port FC selepas kontraknya tidak disambung kelab berpangkalan di Bangkok itu.
Pemain pertahanan kanan tersebut bakal berstatus 'free agent' menjelang 31 Mei depan yang menyaksikan khidmatnya boleh disambar kelab-kelab Liga Malaysia.
Nama Roller bukan lagi asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan memandangkan dia pernah beraksi ketika menentang Malaysia di pusingan separuh akhir Piala AFF 2018 yang mana menyaksikan skuad kebangsaan berjaya mara ke pentas final pada edisi tersebut.
Roller ketika menyarung jersi pasukan Thailand. — Agensi
Dengan reputasi Roller yang sudah terbiasa dengan Liga Asia Tenggara, pemain berusia 28 tahun itu amat sesuai bermain di Liga Malaysia (Liga M).
Bahkan dengan jendela perpindahan kedua yang semakin hampir, dia dikatakan sudah menjadi rebutan penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sri Pahang FC dan Perak FC yang bergelut di posisi pertahanan.
Dengan kelincahan dan corak permainannya yang dimilikinya, Roller nampak lebih sesuai sebagai pengganti kepada tonggak import Terengganu FC, Sardor Kulmatov yang dilihat masih bergelut dalam Liga M.
Selain itu faktor Adisak Kraisorn yang berasal dari Thailand juga boleh menarik minat Roller untuk beraksi bersama skuad Sang Penyu itu.
Musim ini Roller beraksi bersama Port FC di Liga Thailand. — Agensi
Malah di media sosial pula beberapa penyokong bola sepak sudah 'tag' nama pasukan yang disokong mereka untuk menyambar bintang Thailand itu.
"Philip Roller ini hebat, minat betul tengok dia main laju, rugi siapa tak ambil dia ini," kata @Putera.
"Harap @Perakfcofficial boleh ambil dia bagi perkuatkan benteng pertahanan," ujar @Safuanorman.
"Selamat datang ke @KLCityfootball, Philip Roller," jelas @Amramyum.
Nilai pasaran semasa Roller dianggarkan lebih RM1.2 juta menurut laman sesawang Transfermarkt. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram