FAM dedah masa depan Richard Chin, 2 bintang luar negara bakal sertai HM hadapi kelayakan Piala Asia B23


  • Podium
  • Khamis, 18 Mei 2023

Richard musim ini beraksi bersama Dartford FC selepas dipinjamkan oleh Charlton Athletic. — Instagram

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan pemain kacukan England-Malaysia, Richard Chin bakal memperkuatkan pasukan Bawah-22 (B-22) bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B23 pada September ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Richard Chin sedang menunggu pasport sebelum membolehkan dia bermain dengan skuad kebangsaan.

"Perlu ada prosedur untuk mendapatkan (pasport), tapi bila dia dah dapat pasport dia boleh main untuk B-23 ataupun skuad senior.

"Pemain itu (Richard) boleh tahan sebab dia ada kualiti untuk main dengan pasukan senior ataupun B-23," katanya ditemui media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 MFL-FAM-AFL di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

347555858_240400945346052_8236353628642125924_n

Richard bergambar bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya. — Twitter

Tambahnya lagi, dua pemain muda kebangsaan yang kini sedang berkelana di luar negara turut akan memperkuatkan skuad B-23 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B23.

"Kita harap bila persiapan skuad B-23 pada September yang mana undian akan bermula minggu hadapan sekali gus untuk kelayakan Sukan Olimpik 2024.

"Kita harap akan dapat panggil Nooa Laine dan Luqman Hakim kerana masa itu berlangsungnya kalendar FIFA," ujarnya.

Sebelum ini kehadiran Richard ke Malaysia mendapat perhatian seluruh penyokong bola sepak yang mana tidak sabar untuk melihat pemain berusia 20 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Posisi asal Richard ialah pemain tengah bertahan namun dia juga boleh bermain sebagai pertahanan kiri dan kanan sekali gus menambah kekuatan buat pasukan kebangsaan di masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram