KEHADIRAN band alternatif rock berpangkalan di United Kingom, Coldplay yang mengadakan konsert di Malaysia cukup mengujakan ramai pihak.
Ia dibuktikan apabila tiket kepada konsert yang bakal diadakan pada 22 November itu habis terjual dalam hanya tempoh dua hari.
Manakan tidak, kumpulan muzik yang terkenal dengan lagu 'Yellow' dan 'Fix You' itu melakukan penampilan buat kali pertama di rantau Asia Tenggara dengan Indonesia juga akan dikunjungi mereka.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan orang ramai itu, sebilangan pihak, terutamanya penyokong bola sepak seperti menolak kehadiran Coldplay.
Hal itu kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada kualiti padang memandangkan konsert besar-besaran itu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Konsert Coldplay yang diadakan pada 22 November menarik ribuan penonton. — Twitter/Coldplay
Berdasarkan jadual yang dikemas kini FIFA, aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dijangka akan berlangsung pada 16 dan 21 November dengan salah satu daripadanya bakal diadakan di stadium berkenaan.
Jadi, mereka mula menunding jari ke arah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) atas pemilihan tarikh berkenaan.
Namun, bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya pernah membincangkan perkara itu dengan badan pengurusan.
"Perkara ini sebenarnya saya sudah bincangkan bersama YB Menteri (Hannah Yeoh) dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi. Dan saya sudah menyatakan kepada Menteri bahawa ia merupakan kali kedua ia terjadi.
"Ini tidak boleh terjadi lagi dan YB Menteri juga bersetuju. Jadi, kerana kita sudah maklumkan bahawa kontrak kita bersama PSM yang mana semua program perlu merujuk kepada Kalender FIFA dan maklumkan kepada kita," katanya.
Penganjuran konsert Jay Chou sebelum ini menerima kritikan pedas daripada penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/Changsuek
Dia berkata demikian ketika majlis rumah terbuka yang diadakan anjuran bersama FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Kompleks MFL, Selangor pada Khamis.
Sebelum ini, perkara sama pernah terjadi ketika penganjuran konsert artis Taiwan, Jay Chou yang diadakan di venue sama pada Januari lalu.
Perkara itu menyebabkan penyokong bola sepak tanah air mempersoalkan keputusan PSM memandangkan ia diadakan ketika Piala AFF sedang berlangsung.
Tambah Hamidin lagi, pihaknya bagaimanapun sudah menemui jalan penyelesaian dengan KBS dan Hannah Yeoh untuk menilai pendekatan terbaik akan perkara tersebut.
"Saya sudah mendapat penyelesaian dengan Menteri bahawa kita tunggu dan lihat daripada hasil undian Piala Asia 2027 untuk membuat persiapan.
"Kalau perlawanan pada 21 November terjadi dan bermain di sini, jadi kita akan cuba untuk melakukan perbincangan bersama pihak FIFA," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram