LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
MENGIMBAU kenangan bersama Selangor, Datuk Lim Teong Kim barangkali boleh berbicara sepanjang malam, dengan segala memori indah detik-detik kegemilangan pada usia muda kembali menghujani mindanya.
Namun, untuk berdepan pasukan lamanya itu di pihak berlawanan, ketua jurulatih Perak FC itu menganggapnya sebagai sesuatu yang sama-sekali berbeza tapi tanggungjawab sebagai seorang profesional tidak memesongkan fokusnya terhadap harapan yang terpikul di bahunya.
Terlalu banyak yang boleh dikongsinya bersama pemain-pemain muda skuad The Bos Gaurus kendaliannya jika kenangan kejayaan silamnya mampu membakar semangat mereka menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Perak, Sabtu ini.
“Ia amat-amat sukar untuk saya mendapat laluan masuk ke pasukan utama Selangor ketika baru berusia 19 tahun (pada 1982). Mereka hampir melengkapi sebuah pasukan kebangsaan, dengan hampir semua pemainnya adalah pilihan utama,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.
Terpilih ke skuad negeri hasil penampilannya bersama kelab UMBC dalam Liga Selangor pada tahun itu, Teong Kim mengingati ia hampir mustahil untuknya mendapat tempat ketika skuad Merah- Kuning itu bersandarkan kepada Jamaluddin Norbit dan Reduan Abdullah di barisan tengah.
Paduan tenaga kedua-duanya di bilik enjin pasukan ketika itulah yang memulakan gerakan-gerakan buat Allahyarham Mokhtar Dahari, Abdul Muin Rahim, K. Kanagarajah dan Khan Hung Meng di barisan depan.
“Saya hanya mendapat peluang beraksi (daripada jurulatih, M. Chandran) ketika Jamaluddin tercedera.
“Sebagai pemain muda yang diberi peluang bermain, saya masih ingat saya berlari tidak berhenti-henti untuk mendapatkan perhatian jurulatih agar terus mendapat peluang dalam perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.
Teong Kim ketika menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook
Berbanding kepayahannya ketika itu, jurulatih itu berkata pemain-pemain muda Perak FC musim ini lebih beruntung kerana mendapat peluang seumpamanya tanpa banyak rintangan gara-gara mereka awal-awal lagi sudah diangkat sebagai pilihan utama kesebelasan pasukan.
Menyambung imbauan kenangannya, Teong Kim mengakui tidak mampu memilih momen terbaiknya bersama Selangor kerana terlalu banyak kejayaan yang dikongsi bersama.
Tiga final Piala Malaysia berturut-turut di antara 1982-84 sebelum dia berpindah menyertai skuad Kuala Lumpur pada musim 1985, bagaimanapun, disenaraikannya sebagai yang teratas.
Final musim 1982 menentang Terengganu, yang menampilkan tiga bintang Singapura, Syed Mutalib, Nasir Jalil (a.k.a Crazy Horse) dan Zainal Abidin Manan – kali pertama liga diwarnai pemain import -- harus yang paling mendebarkan hingga ia memerlukan jaringan Abdul Muin dalam masa tambahan untuk Selangor akhirnya unggul 1-0.
Kemudian, Selangor berarak sekali lagi dalam final 1983 untuk berdepan Pahang, yang mengakhiri kegagalan enam musim berturut-turut di peringkat separuh akhir, untuk akhirnya layak ke perlawanan kemuncak di Stadium Merdeka.
Dibintangi antaranya oleh Zainal Abidin Hassan yang ditransformasikan sebagai penyerang daripada bek kanan oleh jurulatih Inggeris, Frank Lord, di samping dua bintang import Singapura, T.Pathmanathan, dan R. Suriamurthi, Pahang yang unggul 3-2 untuk menjulang Piala Malaysia buat julung-julung kalinya.
Final 1984 pula tertulis sebagai ‘perlawanan melunaskan hutang’. Pedih daripada luka kekalahan semusim sebelumnya, menyaksikan Mokhtar hanya berperanan ‘pembantu’ untuk Azhar Shariff dan Khan Hung Meng (2 gol) mendapatkan jaringan dalam ‘empat minit yang gila’ di penghujung permainan untuk kemenangan 3-1.
Teong Kim, bagaimanapun, tidak beraksi dalam perlawanan akhir itu kerana telah mengutip dua kad kuning sebelum itu.
“Untuk dua kejayaan itu, kami dibawa bercuti ke London pada 1982 dan menonton siaran langsung Piala Dunia Espana ’82 dari sana. Kemudian, pada 1984, kami diberi hadiah menyaksikan Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles,” sambungnya.
Teong Kim (hujung kanan atas) bersama skuad kebangsaan di Piala Presiden Korea 1983. — Facebook
Semua itu berlaku ketika pemain-pemain Perak FC hari ini belum pun lahir dan nama-nama kebanyakan pemain bintang era berkenaan – kecuali Mokhtar Dahari -- barangkali tidak pun dikenali mereka.
Tapi, kepada Teong Kim, masih ada banyak pengajaran dan dorongan yang boleh diambil mereka, terutama daripada segi pengorbanan, perit-jerih yang dilalui serta semangat untuk memenangkan pasukan, yang tiada tarikh luput di sebalik peredaran zaman.
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Semua pemain hendaklah berhabis-habisan agar apa yang dianggap mustahil itu boleh terjadi, termasuk perlawanan menentang Selangor FC, Sabtu ini.
“Harapan saya ialah penyokong Perak FC akan datang beramai-ramai memenuhkan stadium untuk menyokong kami.
“Pemain-pemain ini tidak pernah beraksi di stadium yang penuh. Jika itu dapat dilakukan (penuhi stadium), tiada siapa tahu apa yang mampu dilakukan oleh-pemain ini,” katanya.
Teong Kim turut berpesan kepada pemain-pemainnya agar menghargai kehadiran penyokong yang harus dibalas dengan tidak mengecewakan mereka.
“Marilah kita tunjukkan kepada penyokong yang pasukan ini mampu bermain bola sepak yang menarik dan sedia untuk berhabis-habisan sekalipun berdepan lawan yang lebih kuat.
“Menang atau kalah adalah adat permainan tapi adalah menjadi tanggungjawab pasukan untuk memastikan penyokong akan pulang dengan rasa puas hati tanpa mengira apa pun keputusannya di penghujung permainan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,