[VIDEO] JDT pantas sambar ubi muda Terengganu, buat kelab lain melopong


  • Podium
  • Khamis, 18 Mei 2023

Muhammad Aqil memilih untuk menyertai akademi JDT bagi meneruskan karier bola sepaknya. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus memperkukuh skuad akademi Harimau Selatan dengan menandatangani Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berumur 13 tahun dari Terengganu.

Muhammad Aqil sebelum ini tular di media sosial yang dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.

JDT menerusi laman rasmi media sosial menyatakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri akan menyertai akademi JDT.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

Selain JDT, aksi yang ditunjukkan Aqil turut berjaya menarik perhatian tiga pemain Terengganu FC yang teruja dengan bakat kelahiran negeri Pantai Timur itu.

Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah merupakan antara yang berasakan Aqil merupakan prospek baharu skuad Sang Penyu berdasarkan kebolehannya itu.

Manakala Safwan Mazlan dan bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov berkesempatan memuji pemain muda berkenaan yang juga mengharapkan bakatnya tidak disia-siakan.

JDT membuktikan mereka antara pasukan terbaik dalam negara yang tidak mensia-siakan bakat pemain-pemain muda.

Akademi JDT telah melahirkan banyak pemain-pemain berkualiti iaitu Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin, Daryl Sham George dan ramai lagi yang sudah mula mendapat peluang bersama skuad utama Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram