CABARAN besar menanti skuad kebangsaan dalam Piala Asia 2023 apabila diundi di samping tiga negara besar di benua ini, iaitu Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Di samping mempunyai jurang kualiti yang cukup besar, pengalaman mereka beraksi di kejohanan tersebut semestinya satu kelebihan untuk kesemua pasukan itu.
Bagi Korea Selatan pula, kejayaan mereka untuk menjuarai Piala Asia sebanyak dua kali, iaitu pada 1956 dan 1960 membuktikan kredibiliti pasukan Asia Barat itu sebagai antara pilihan untuk menjuarainya pada edisi kali ini.
Tambahan pula, mereka yang layak ke Piala Dunia setiap tahun sejak 1986 sememangnya meletakkan mereka di tahap yang cukup tinggi berbanding Harimau Malaya.
Jordan dan Bahrain juga tidak boleh dipandang rendah memandangkan kedua-dua pasukan berkenaan memiliki pemain dengan fizikal yang cukup hebat.
Oleh itu, dalam membolehkan pasukan kendalian Kim Pan-gon sekurang-kurangnya beraksi dengan cukup baik, persiapan pasti sudah dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Antara rancangan yang sudah dirangka adalah dengan mengadakan aksi persahabatan bagi membolehkan hubungan baik antara pemain di atas padang berada di tahap optimum.
Berdasarkan jadual ketika ini, dua pasukan iaitu Yaman dan Kepulauan Solomon merupakan ujian awal buat skuad kebangsaan dengan perlawanan persahabatan itu bakal berlangsung pada Jun.
Namun, dengan kedudukan mereka berada tidaklah begitu ketara berbanding Harimau Malaya dalam ranking FIFA, ia pasti tidak akan dapat menguji sejauh mana tahap pasukan negara.
Jadi, menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pelbagai perancangan sudah dibuat FAM untuk mempersiapkan skuad Piala Asia dengan lebih rapi.
Oman merupakan antara pasukan yang sedang melakukan perbincangan bersama FAM. — Agensi
"Untuk pengetahuan semua, pihak FAM dan Pan-gon sedang berusaha untuk mengadakan satu perlawanan pada awal Januari.
"Sekarang ini, kita sedang berbincang dengan Australia untuk bertemu mereka di Doha, Qatar, tetapi coach Pan-gon mahukan satu perlawanan di Malaysia dan satu lagi perlawanan di sana," katanya.
Hamidin berkata demikian kepada media ketika majlis rumah terbuka yang dianjurkan FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Kompleks MFL, Selangor pada Khamis.
Tambahnya lagi, beberapa negara Timur Tengah juga sedang berbincang dengan badan induk bola sepak negara itu dengan pihak kejurulatihan Harimau Malaya juga terlibat.
Beraksi di samping Australia dan Jordan mampu menguji kebolehan pemain. — Agensi
"Pada dasarnya, Oman sudah bersetuju untuk bermain dengan kita di Qatar pada 8 atau 9 Januari, tetapi surat pengesahan masih belum diterima.
"Kita juga sudah bermesyuarat sama ada Arab Saudi, Oman atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bermain di sana. Jadi, ada satu perlawanan di sana dan satu lagi bermain di tempat sendiri," katanya.
Hamidin turut menegaskan persiapan yang boleh dilakukan sepanjang kira-kira enam bulan sebelum Piala Asia merupakan tempoh cukup baik meskipun tidak menolak pasukan lain turut melakukan perancangan dengan rapi.
Mengulas mengenai sasaran yang diletakkan FAM sepanjang kempen tersebut, dia menegaskan pihaknya tidak meletakkan harapan dan tekanan terlalu tinggi.
"Harapan saya dengan FAM adalah sekurang-kurangnya kita membawa mata, tidak kosonglah untuk bawa balik ke negara. Tetapi, jika kita dapat layak ke peringkat 16 pasukan, itu memang pencapaian yang cukup bagus," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram