[VIDEO] Seolah bermimpi, lelaki terpinga-pinga nampak harimau bintang baham anjing depan mata


  • Benua
  • Khamis, 18 Mei 2023

Tangkap layar video lelaki yang kelihatan masih terpinga-pinga dengan kejadian yang berlaku di depan matanya di Pune, India pada Isnin.

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki sedang nyenyak tidur di atas katil sebelum terjaga gara-gara terdengar bunyi bising di belakangnya.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.22 pagi Isnin itu dikongsikan Neha Panchamiya yang juga merupakan pengasas pusat menyelamat haiwan, RESQ Charitable Trust yang terletak di Pune, India.

Berdasarkan video berdurasi dua minit 40 saat yang dimuat naik di Twitter itu, kelihatan seekor harimau bintang tiba-tiba muncul dari bawah trak dan perlahan-lahan menghampiri anjing yang sedang tidur di atas tanah.

Tidak menunggu lama, binatang buas itu dengan segera menggonggong anjing berkenaan lalu membawanya pergi.

Lelaki itu kemudian terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi bising dan setelah menoleh, harimau bintang tersebut sudah pun melarikan anjing itu.

Meskipun berdepan dengan situasi yang mengerikan, dia kelihatan masih terpinga-pinga dengan kejadian yang berlaku di depan matanya, namun beberapa saat kemudian, dia dilihat bermain telefon pintarnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Situasi itu mendatangkan pelbagai reaksi warganet, antaranya Kushalshete berkata, keadaan di mana binatang buasa seperti harimau bintang datang ke kawasan tertentu dan membaham anjing seperti dalam video akan terus berlaku sekiranya hutan di India terus musnah dimusnahkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram