[VIDEO] Dalam diam, rupanya ayam tambatan TRW selamat jadi 'imam' gadis Uganda


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Ismahel (diri, kiri) selamat menjalani urusan pernikahan dalam satu majlis kecil-kecilan di Kota Bharu, Kelantan. — Facebook/TRW Kelantan FC

PERGOLAKAN dalaman yang dialami Kelantan FC menyebabkan pasukan berkenaan terus menerima impak negatif daripada penyokong bola sepak tanah air.

Isu kebajikan pemain, masa depan yang tidak menentu dan prestasi terumbang-ambing dalam setiap perlawanan sedikit sebanyak memberi tekanan buat pihak pengurusan.

Bukan itu sahaja, desakan daripada penyokong untuk melihat pemilik kelab, Norizam Tukiman mengundur diri juga semakin bertiup kencang berikutan ura-ura kurang senang di media sosial.

Namun, dengan Liga Super sudah berlangsung selama kira-kira tiga bulan, perjalanan pasukan perlu diteruskan meskipun tekanan di luar padang semakin dirasai.

Bagi peminat setia pasukan, sorakan masih diberikan untuk setiap hari perlawanan untuk sekurang-kurangnya menyaksikan kelab yang dicintai mereka itu dapat memberikan tentangan.

Kehadiran mereka itu dikatakan sedikit sebanyak menyuntik semangat terhadap pemain yang berada di atas padang untuk memberikan usaha terbaik.

342338767_768228864928866_1601435993647756390_n

Ismaheel (kiri) merupakan antara wira dalam skuad malap TRW ketika ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Antara tonggak yang sering ditunggu-tunggu kehadirannya adalah penyerang import, Ismaheel Akinade yang boleh dianggap sebagai ayam tambatan skuad The Red Warriors (TRW).

Dalam 10 perlawanan Liga Super Kelantan FC, pemain kelahiran Nigeria terbabit sudah diturunkan sebanyak tujuh kali di samping berjaya menjaringkan tiga gol.

Bagaimanapun, masa depannya bersama kelab Pantai Timur berkenaan dikatakan semakin malap berikutan khabar angin yang mengatakan dia bakal mencari majikan baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Hal itu sememangnya cukup merisaukan rata-rata penyokong TRW yang mengharapkan kelibat pemain tinggi lampai itu dapat dikekalkan sehingga sekurang-kurangnya penghujung musim 2023.

Namun, baru-baru ini, Ismaheel seperti memberikan gambaran bahawa dia sudah semakin selesa untuk terus komited bersama Kelantan FC.

Suasana yang dirakamkan ketika hari pernikahan Ismaheel dengan pilihan hatinya. Facebook/Zuraimi Zukri

Ia berikutan satu berita gembira bahawa dia sudah melayari bahtera rumah tangga selepas urusan pernikahannya selesai pada Ahad.

Perkara tersebut dikongsikan pengguna media sosial yang mengatakan pilihan hati Ismaheel adalah seorang wanita berasal dari Uganda yang baru sahaja memeluk Islam.

Urusan pernikahan berkenaan difahamkan berlangsung di Masjid Langgar, Kota Bharu, Kelantan yang dihadiri beberapa jemaah masjid berkenaan.

Dalam video yang dikongsikan, suasana hari bersejarah buat pemain berusia 29 tahun itu cukup meriah dengan gelak tawa dan perasaan senang daripada orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram