LIGA Malaysia (Liga M) kembali mewarnai hari-hari penyokong bola sepak tempatan selepas dua minggu berehat bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) bertanding di kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Sepanjang tempoh rehat berkenaan, ada pasukan yang meneruskan latihan seperti biasa dan terdapat juga kelab menggunakan kesempatan itu untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan mengekalkan kecergasan, selain membina semula keserasian antara pemain.
Seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC , pasukan ini menggunakan peluang tersebut dengan membuat aktiviti yang diberi nama Kem Pengukuhan bagi meningkatkan keserasian antara pemain menjelang aksi seterusnya.
Kem yang diadakan selama tiga hari dua malam di Langkawi itu menjadikan perlawanan persahabatan antara Sang Kenari menentang jiran mereka iaitu Penang FC sebagai aktiviti penutup mereka untuk menguji kekuatan pemain.
Namun lain pula jadinya apabila aksi persahabatan itu menyaksikan Sang Kenari mudah dimalukan 2-5 di tangan Harimau Kumbang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Ahad.
Pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan berhasil mencetak satu jaringan menerusi pasukan pelawat yang terlebih dahulu mencetak gol menerusi Jonathan Balotelli dan Soony Saad berhasil menyamai kedudukan.
Manakala, pada babak kedua pula, pasukan tuan rumah membuat pesta gol hasil sumbangan dari Adib Raob, Adriano, Nur Izzat dan Hadin Azman, selain hanya satu jaringan dicetak oleh Lee Tuck untuk pasukan Hijau Kuning.
Tangkap layar hantaran Azraai Khor.
Kekalahan memalukan itu bukan hanya menaikkan marah penyokong, malah legenda jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah juga seperti bengang dengan prestasi KDA FC yang seolah-olah tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
"Mencari keserasian..." kata jurulatih berusia 71 tahun itu di laman Facebook peribadinya.
Hantaran tersebut seperti menunjukkan luahan kekecewaan pengendali kelahiran Kedah itu terutamanya selepas Sang Kenari seolah-olah mensia-siakan tiga hari mereka mengadakan Kem Pengkuhan di Langkawi.
"Kena lima baru buka mata, berapa hari pergi makan angin di Langkawi," komen penyokong KDA FC, Li Taiyub.
"Letih pergi bercuti di Langkawi," sindir penyokong Sang Kenari, Syuk Syukrayyanrifkie.
Selepas perlawanan disudahi dengan kekecewaan itu, penyokong Kedah hanya mampu berharap agar pasukan Hijau Kuning memperolehi tiga mata menjelang aksi menentang Kelantan FC pada Jumaat ini di Stadium Darul Aman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram