Kim Swee: Segala khabar angin petanda positif Sabah FC dicemburui tapi…


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Kehadiran Kim Swee sebagai ketua jurulatih pasukan Borneo itu mencetuskan perbezaan yang cukup besar. — Facebook/Sabah FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

DARIPADA dikaitkan dengan kedatangan deretan bintang hinggalah kepada kemungkinan hilang beberapa tonggak, Sabah FC semakin menjadi lubuk khabar angin, yang bagaimanapun bukan ciptaannya sendiri.

Mengandaikannya sebagai petanda positif terhadap peningkatan skuad The Rhinos itu yang kini mengisi kelompok empat teratas Liga Super, ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, mengakui tidak pun berasa teruja dengan segala gembar-gembur berkenaan.

Malah, terbit kecurigaan dalam dirinya terhadap semua itu mungkin ditimbulkan mereka yang berkepentingan untuk mengocak keharmonian dalam pasukannya, apatah lagi mereka masih kekal tanpa kalah selepas lima perlawanan di kubu kuat di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Bermula dengan PDRM FC, kemudian diikuti oleh Kelantan United, Penang FC, Kelantan FC dan terakhir sekali Selangor FC, pasukan pelawat semuanya pulang hampa daripada keperkasaan tuan rumah itu yang mencetak purata empat gol dalam perlawanan berkenaan.

“Macam-macam pihak yang diura-urakan memberi tumpuan kepada Sabah FC dan pemain-pemain kami tapi saya boleh beritahu kebanyakan khabar angin berkenaan tidak benar,” katanya kepada Laptop Cabuk.

Terbaru, skuad Sang Badak itu turut dikaitkan sebagai antara pasukan yang berpeluang memiliki Safawi Rasid, yang dilaporkan mahu menamatkan tempoh pinjamannya bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.

2061910

Safawi (kanan) mula dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah FC. Instagram/Leo Jeong

Ura-ura itu dihangatkan lagi dengan satu foto yang dikongsikan seorang ejen berpangkalan di Korea Selatan, Leo Jeong bersama pemain Johor Darul Takzim (JDT) berusia 26 tahun itu.

Ejen itu pernah membantu meningkatkan kualiti skuad Sang Badak dengan kehadiran dua pemain yang tiba dari negara kelahirannya, Kwang Ko-min dan Park Tae-su.

Tidak cukup dengan itu, Sabah FC dikatakan berminat mendapatkan bekas penyerang JDT, Jorge Pereyra Diaz, yang kini bersama kelab Liga Super India, Mumbai City FC, selain bekas import Kelantan FC, Kenta Hara, yang masih tercari-cari majikan baru.

Kemudian, nama Steven Rodriguez, penyerang Colombia yang dipinjamkan kepada Sri Pahang FC musim lalu tapi telah kembali menyertai kelab Independiente Medellin, turut dicanangkan sebagai calon penyerang di bawah pengawasan Kim Swee.

Nama-nama berkenaan membabitkan gembar-gembur kemasukan baru ke skuad Sang Badak, namun tidak ketinggalan juga tiga tonggaknya, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Farhan Roslan diuar-uarkan diteropong untuk kembali memperkuatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

347012906_915639629723934_1306993259176645659_n

Saddil sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Eropah. Facebook/Sabah FC

Khabar itu menyusuli kononnya penyerang, Saddil Ramdani, kini memperbaharui minatnya untuk mengadu nasib bersama FK Sarajevo, kelab di Bosnia yang dimiliki jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

Dengan sedemikian banyak nama yang dianggap Kim Swee sebagai “dipetik daripada udara tipis”, jurulatih berusia 52 tahun itu menganggapnya tidak lebih daripada modal bualan netizen di platform media sosial.

“Saya hanya boleh sahkan bahawa atas persetujuan bersama, kami memutuskan untuk melepaskan Jacob Njoku dengan serta-merta,” katanya mengenai penyerang berusia 25 tahun dari Nigeria itu yang ditandatangani daripada Kelantan United musim lalu.

“Dia seorang penyerang yang baik tapi mendapati sukar untuk merebut tempat dalam pasukan. Pelepasan awalnya adalah untuk meluangkan masa buatnya mencari pasukan baru dalam jendela perpindahan berikut,” katanya.

Seiring dengan keputusan itu, Kim Swee tidak menolak untuk mendapatkan seorang penyerang import sebagai pengganti di samping sudah mengenal pasti calon yang diinginkan tapi bukan dalam kalangan penyerang pasukan lain yang sedang beraksi dalam Liga Super.

2035005

Penyerang Kelantan FC, Ismahel Akinade dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah FC. Facebook/Kelantan FC

“Tidak. Langkah itu akan membabitkan kos yang besar kerana kami perlu membayar pampasan kepada kelabnya di samping perlu menebus kontraknya.

“Saya perlu duduk berbincang dengan pihak pengurusan. Kami perlukan seorang penyerang tengah yang bagus dari luar negara walaupun ia membabitkan kos yang lebih sedikit,” katanya sambil ia menolak satu lagi khabar angin akan mendapatkan penyerang Kelantan FC, Ismahel Akinade.

“Sudah tentu, jika boleh, saya mahukan Safawi. Tapi saya juga faham ura-ura Safawi dikaitkan dengan kami adalah kerana dia lama bersama saya dalam pasukan bawah 23 tahun negara dan Harimau Malaya. Kaitannya hanya terhenti setakat itu,” tambahnya.

Kim Swee juga menepis gembar-gembur kononnya Baddrol, Rizal dan Farhan menarik minat untuk dibawa pulang memperkuatkan skuad Sang Kenari sebagai tidak berkemungkinan dalam waktu terdekat ini.

“Pemain-pemain ini cukup gembira bersama Sabah FC di samping mempunyai kontrak untuk dituruti.

343926179_3160678797569891_6801976203086512479_n

Kim Swee turut menepis khabar angin Baddrol akan pulang ke Kedah. Facebook/Sabah FC

“Badd punya sumbangan cukup penting buat pasukan, Rizal banyak membantu memulakan serangan dari posisinya di pertahanan dan Farhan hanya menanti masa dan peluang untuk kehadirannya digunakan sebaik-baiknya.

“Juga tiada sebarang isu di antara ketiga-tiganya dengan pasukan dan tiada sebab untuk mereka mahu tinggalkan kami,” jelasnya.

Hal yang sama juga harus melenyapkan sebarang cakap-cakap untuk Saddil – penjaring empat gol, cuma kurang satu daripada Tae-su – mahu memugar semula impian menjaja bakatnya di Bosnia.

“Itu cerita lama sebelum dia menerima tawaran untuk melanjutkan kontrak dua tahun lagi bersama kami. Jadi, isu dia mahu ke luar negara tidak timbul lagi,” katanya.

Sabah FC akan menyambung cabaran dengan melayani kunjungan Terengganu FC ke Stadium Likas pada Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram