Pamer aksi mantap, Solari beri pujian melambung buat duo berbisa Harimau Selatan


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Solari mengakui bahawa dia kagum dengan kesungguhan anak-anak buahnya di atas padang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari mengakui dia teruja dengan keupayaan anak buahnya untuk meneruskan rentak selepas tempoh rehat dua minggu berikutan temasya Sukan SEA Kemboja.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu mencatatkan kemenangan ke-10 mereka selepas mendudukkan pasukan tercorot, Kelantan United dengan keputusan 6-0 pada Sabtu.

Menurut Solari, persembahan pemain skuad Harimau Selatan cukup baik, lebih-lebih lagi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri yang dilabel 'pasangan mantap' oleh jurulatih kelahiran Argentina itu.

"Pada saya, kedua-dua pemain ini boleh menembusi mana-mana benteng pertahanan sekiranya mereka beraksi. Mereka mencipta kombinasi yang baik walaupun cara permainan mereka berbeza.

346662861_942658710189834_6596468626909654787_n

Bergson (kanan) muncul sebagai pemain pertama mencatatkan hatrik musim ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Bergson merupakan penyudah yang mantap sementara Forestieri gemar mencipta peluang meskipun sentuhannya di hadapan pintu gol lawan juga sukar dipersoalkan," katanya.

Tambah Solari, skuad Harimau Selatan sempat mengadakan aksi pramusim secara kecil-kecilan ketika Liga Super direhatkan selama dua minggu.

"Kami risau tempoh berkenaan akan mengganggu momentum dan rentak, tetapi pemain terus bersungguh-sungguh dalam sesi latihan.

"Hasilnya boleh dilihat ketika kemenangan besar ke atas Kelantan United. Kini, kesemua pemain dilihat mempunyai motivasi berbeza untuk menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu, Bergson menjaringkan hatrik sementara Forestieri memperolehi dua lagi gol peribadi dalam Liga Super.

Satu lagi gol dijaringkan pemain tengah, Leandro Velazquez pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti yang memastikan JDT mencatatkan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam liga. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram