SELEPAS lebih dua tahun menyumbang bakti di Kelantan FC, penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab daripada pantai timur itu.
Pol Corpas atau nama Islamnya ,Abu Bakar memaklumkan perkara tersebut kepada seluruh warga dan penyokong Kelantan FC melalui sebuah hantaran yang menyentuh perasaan di laman instragram miliknya.
Menurutnya, meninggalkan Kelantan FC yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu bukan suatu keputusan mudah dan dia sentiasa mendoakan kejayaan kelab tersebut pada masa hadapan.
Pelbagai spekulasi yang bermain di media sosial menyatakan Pol Corpas akan menyertai Lion City Sailors FC namun jurulatih kelahiran Sepanyol itu menafikannya.
"Sudah tiba masanya untuk menarik nafas, bola sepak adalah peringkat dan saya fikir sudah tiba masanya untuk menutup peringkat ini, saya ingin mendapatkan semula kekuatan untuk destinasi seterusnya.
"Buat masa sekarang tiada apa-apa lagi persetujuan dengan mana-mana pasukan ataupun Lion City Sailors.
"Saya ingin menyertai pasukan yang mempunyai kestabilan projek, pada masa yang sama bercita-cita tinggi, mempunyai rasa hormat, jujur dan telus kepada individu yang berkerja dalam kelab," katanya pada Majoriti.
Apabila ditanya mengenai ketua jurulatih terbaik yang pernah dia bekerjasama di Kelantan FC, Pol Corpas berkata, Rezal Zambery Yahya merupakan individu yang paling dihormati di Kelantan FC.
"Bagi saya, jurulatih yang saya rapat dan saya akan terus berhubung ialah Rezal Zambery.
"Semestinya ketika kami bekerja bersama dan hasilnya ada dan cara kejurulatihannya sangat sepadan dengan idea saya.
Rezal Zambery Yahya. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tambahnya lagi, Rezal merupakan seorang jurulatih yang mampu mengawal bilik persalinan dengan baik serta mahir membimbing pemain-pemain TRW.
"Rezal merupakan ketua kumpulan, cara dia menguruskan pemain sangat baik. Dia membuktikannya tahun lepas dengan melakukan pada musim lepas. Bersama dia saya rasa saya mempunyai peranan penting dalam barisan kejurulatihan.
"Akhirnya kami mencipta hubungan yang hebat, saya ingin melihat dia mengetuai projek lain dan menunjukkan kemampuannya.
"Saya harap dapat bekerjasama dengan dia lagi di masa akan datang," ujarnya.
Pol Corpas sangat selesa bekerjasama dengan Rezal. — Facebook
Pol Corpas sempat berkongsi memori yang tidak akan dia lupakan sepanjang bekerja dengan Rezal sepanjang mengemudi Kelantan FC.
"Momen terbaik saya adalah beberapa kemenangan bersama Rezal ialah ketika menewaskan PDRM, cara dia mengendalikan perlawanan sangat hebat.
"Ketika perlawanan menentang Terengganu II, sebelum perlawanan dengan jabatan media, kami membuat video dengan semua keluarga untuk memberi sokongan kepada pemain.
"Setiap perlawanan apabila penyokong di stadium, sokongan mereka amat menakjubkan.
"Secara umum, musim lalu kami mencapai sesuatu yang sangat sukar dalam bola sepak dan itu mewujudkan sifat kekeluargaan antara jurulatih dan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram