Berlatih dengan skuad senior Sri Pahang, anak bekas import Perak rupanya produk akademi JDT


  • Podium
  • Ahad, 14 Mei 2023

Firaz yang pernah menyarungkan jersi JDT tiba di bumi Darul Makmur untuk bermain bersama Sri Pahang musim ini. — Sri Pahang FC/ Instagram @omoalaja10

SAINGAN Liga Super 2023 kembali memanaskan enjin selepas berehat seketika selama kira-kira tiga minggu bagi memberi laluan kepada Sukan SEA Kemboja.

Dengan tempoh rehat semakin berakhir, pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M) kembali menjalani latihan di kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan.

Di padang latihan Sri Pahang FC, kelibat seorang pemain muda yang beraksi bersama skuad senior menjadi bualan penyokong Tok Gajah.

347001943_1858140774565214_3452257610846057281_n

Aksi Firaz (kiri) di samping Kpah ketika menjalani latihan baru-baru ini. — Facebook/ Sri Pahang FC

Aksinya di samping tonggak Sri Pahang FC, Kpah Sherman dan Baqiuddin Shamsudin yang dirakam lensa media pasukan mendapat perhatian peminat kelab Pantai Timur tersebut.

Seorang penyokong Sri Pahang mendedahkan bahawa pemain tersebut ialah anak kepada bekas import Perak FC, Abdulafees Abdulsalam.

Berdasarkan data transfermarkt.com, Abdulafees menyertai Perak FC pada Julai 2012 hingga akhir musim 2014, sebelum meneruskan karier dengan MAFFA (Angkatan Tentera Malaysia) dari 2014 hingga pertengahan musim 2017.

firaz 3

Gambar keluarga Abdulafees. — Instagram @omoalaja10

Semakan Majoriti di laman Instagram Abdulafees, @omoalaja10, mendapati bekas import dari Nigeria itu kini berkhidmat sebagai jurulatih di Akademi GCM.

Bekas penyerang Perak yang kini berusia 39 tahun itu juga bergiat aktif sebagai ejen bola sepak profesional dan scouting (pemantau bakat).

firaz 5

Sri Pahang FC merekrut Firaz bagi musim 2023. — Facebook/ Sri Pahang FC

Berbalik kepada anak lelakinya itu, dia dikenali sebagai Firaz dan merupakan anak Abdulafees bersama pasangannya, Khadijah.

Berdarah kacukan Malaysia-Nigeria, Firaz sebenarnya ditandatangani Sri Pahang musim ini, berdasarkan perkongsian gambar di Instagram bapanya itu, pada 7 Mac lepas.

Difahamkan juga, Firaz merupakan produk akademi Johor Darul Takzim (JDT) bersama seorang lagi anak Abdulafees iaitu Adam Syafiq.

firaz adam syafiq

Firaz (kanan) dan Adam Syafiq (tengah) bersama JDT pada musim 2022. — Instagram

Untuk rekod, Adam Syafiq pernah mendapat panggilan skuad kebangsaan bawah 17 tahun (B-17) bagi Kejuaraan B-16 AFF 2022 di Indonesia pada 31 Julai hingga 13 Ogos 2022 serta Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Jakarta pada 1 hingga 9 Oktober 2022.

Firaz dan Adam Syafiq kini berbangga menyarungkan jersi Sri Pahang musim ini.

Kemunculan Firaz di padang latihan Sri Pahang FC memberi bayangan kemungkinan dia akan beraksi bersama pemain senior dalam perlawanan akan datang.

firaz 4

Firaz (kiri) dan Adam Syafiq bersama pemain Sri Pahang FC, Nick Swirad. — Instagram

Tidak mustahil, ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, bakal memberi peluang kepada pemain muda itu untuk menunjukkan bakatnya dalam aksi menentang Penang FC pada 20 Mei depan.

Skuad Tok Gajah menempatkan diri di kelompok ketiga terbaik di belakang JDT dan Selangor FC ketika ini dengan kutipan 22 mata daripada 10 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram