TONGGAK pertahanan Sri Pahang FC, Syazwan Andik yang kehilangan bayi sulung pada Sabtu memohon doa daripada komuniti bola sepak tempatan.
Syazwan yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT) menerusi satu hantaran Instagram Story berharap agar orang ramai dapat memanjatkan Al-Fatihah buat anak syurganya itu.
Pemain berusia 26 tahun itu juga tampil mendedahkan nama yang diberikan kepada arwah anak pertamanya hasil perkongsian hidup bersama isteri, Aina Shuada Faizal ialah Muhammad Aryan Affan.
"Assalamualaikum semua, Alhamdulillah ALLAH permudahkan segala urusan kami. Terima kasih atas limpahan doa dan semangat buat kami suami isteri.
"Sedekahkan Al-Fatihah untuk anak syurga, Muhammad Aryan Affan," tulis di Instagram @syazwanandik pada Ahad.
Syazwan turut menyelitkan mesej berbunyi 'I love you' (Saya sayang kamu) buat isteri tercintanya itu.
Pada Sabtu, dunia bola sepak negara menerima perkhabaran duka apabila Syazwan dilaporkan kehilangan bayi sulungnya.
Berita tersebut dikongsikan melalui laman sosial rasmi Facebook Sri Pahang FC (SPFC).
"Pihak SPFC serta rakan sepasukan ingin mengucapkan salam takziah buat pemain pertahanan SPFC, Syazwan Andik yang telah kehilangan bayi sulungnya di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) pada 13 Mei 2023.
"Semoga terus tabah dan sabar menghadapi ujian," jelas kenyataan itu tanpa mengulas lanjut punca dan usia bayi pemain tersebut.
Untuk rekod, Syazwan mendirikan rumah tangga bersama Aina Syuada di Rumah Tamu Datin Hilijah, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2021.
Pemain pertahanan itu menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari JDT bagi musim 2023 dan bersama JDT II sejak 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram