DUNIA bola sepak negara menerima perkhabaran duka apabila pemain Sri Pahang, Syazwan Andik kehilangan bayi sulungnya pada Sabtu.
Berita itu dikongsikan melalui laman sosial rasmi Facebook Sri Pahang FC (SPFC).
"Pihak SPFC serta rakan sepasukan ingin mengucapkan salam takziah buat pemain pertahanan SPFC, Syazwan Andik yang telah kehilangan bayi sulungnya di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) pada 13 Mei 2023.
"Semoga terus tabah dan sabar menghadapi ujian," jelas kenyataan itu tanpa mengulas lanjut punca dan usia bayi pemain itu.
JDT turut berkesempatan untuk mengucapkan salam takziah kepada Syazwan dan keluarga. — Instagram/Johorsoutherntiger
Selain itu, dalam satu hantaran laman Instagram milik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) turut mengucapkan salam takziah kepada Syazwan Andik sekeluarga yang telah kehilangan bayi sulungnya.
Beberapa pemain bola sepak tempatan turut berkongsi rasa sedih dan menitip doa buat pemain tersebut dan antara yang paling terkesan dengan situasi itu adalah Syafiq Ahmad yang memuat naik hantaran takziah di laman Instagram peribadinya.
Pemain berusia 26 tahun itu mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati yang juga merupakan personaliti media sosial, Aina Syuhada, 24, yang berlangsung di Rumah Tamu Datin Hilijah, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2021.
Untuk rekod, pemain pertahanan menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) bagi musim 2023 dan bersama JDT II sejak 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram