Andai gagal pujuk Safawi, TFC perlu cuba 'pancing' bintang di Kedah, JDT dan Kelantan


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Safawi (kanan) pernah beraksi bersama T-Team sebelum berhijrah ke JDT pada 2017. — Twitter/Safawi Rasid

PEMAIN sayap negara, Safawi Rasid kini menjadi buruan beberapa pasukan Liga Super dengan kelab Indonesia, Persib Bandung juga seperti berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sejak berhijrah ke Thailand untuk menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman, pemain kelahiran Dungun, Terengganu terbabit hanya menjaringkan satu gol liga.

Rekod berkenaan dilihat akan menyulitkan lagi keadaannya di negara berkenaan, lebih-lebih dengan kelab yang diwakilinya itu kini berada di tangga kelapan.

Jadi, dengan jendela perpindahan hampir dibuka pada Julai, terdapat kemungkinan bahawa pemain berusia 26 tahun itu akan berpindah demi mendapatkan minit permainan.

Ia berikutan hubungan renggangnya bersama majikan asalnya, Johor Darul Takzim, termasuk pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Oleh itu, dengan tiada jaminan bahawa Safawi akan membawa sesuatu ke dalam skuad Harimau Selatan, tidak timbul apa-apa persoalan mengenai masa depan dalam kariernya.

Antara pasukan yang dikhabarkan sedang giat berusaha untuk membawa masuk penyerang berkenaan ialah Terengganu FC apabila mereka terus bergelut di jentera serangan sepanjang musim.

1744403

Kehilangan Faisal sememangnya cukup dirasai skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Kehilangan pemain sayap, Faisal Halim sememangnya cukup dirasai memandangkan mereka hanya menjaringkan 13 gol dalam 10 aksi Liga Super setakat ini.

Jadi, dengan Safawi merupakan seorang anak jati Terengganu, ia boleh dikatakan sebagai destinasi terbaik buatnya demi mendapatkan semula rentak.

Tambahan pula, ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner merupakan individu yang bertanggungjawab mengasah bakatnya sebelum ini ketika kedua-dua mereka berada di T-Team.

Bagaimanapun, meskipun perpindahan itu cukup dihajati segelintir besar penyokong kelab Pantai Timur itu, kekurangan dana untuk merealisasikan penghijrahan tersebut merupakan salah satu halangan.

Tambahan pula, dengan kedudukan mereka yang boleh diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk, apakah Safawi akan terbuka untuk kembali ke negeri kelahirannya?

Oleh itu, sekiranya Terengganu FC gagal untuk mendapatkan khidmat pemain berkaki kiri itu, terdapat tiga nama yang dilihat cukup sesuai sebagai alternatif ketika ini.

1. Miguel Cifuentes (Kelantan FC)

Meskipun dibawa masuk sebagai seorang pemain tengah, Miguel Cifuentes menonjolkan kebolehannya sebagai salah seorang pemain paling versetail dalam Liga Super bersama Kelantan FC.

Pemain dari Sepanyol itu sering diturunkan dalam beberapa posisi berdasarkan kebolehannya yang cukup baik dari segi menyerang mahupun bertahan.

Pulangannya di hadapan pintu gol lawan juga tidaklah terlalu mengecewakan apabila pemain berusia 32 tahun tersebut sudah merekodkan tiga jaringan peribadi.

Bagaimanapun, dengan Kelantan FC berada dalam isu yang cukup merisaukan ketika ini, terdapat kemungkinan bahawa Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu akan mencari kelab baharu.

2000752

Cifu (kanan) sememangnya sedang dirisik beberapa pasukan Liga Super ketika ini. Facebook/Kelantan FC

Sebelum ini, dia dikhabarkan berminat untuk menyertai JDT berdasarkan beberapa khabar angin yang kuat bertiup di laman media sosial.

Namun, memandangkan kuota import terakhir kelab itu dikhabarkan bakal diisi penyerang kelahiran Colombia, Radamel Falcao, ia pasti akan menutup pintu perpindahan tersebut.

Jadi, dengan Terengganu FC memerlukan seseorang yang cukup fleksibel di posisi tersebut, Cifuentes merupakan calon terbaik sekiranya Safawi memilih untuk pulang ke tanah air.

Tambahan pula, Cifuentes yang boleh beraksi sebagai pemain sayap menyerang boleh mencetuskan hubungan yang cukup baik di atas padang bersama import-import lain.

2. Akhyar Rashid (JDT)

Ketika ini, tanda tanya mula timbul mengenai masa depan Akhyar Rashid yang terus diletakkan di bangku simpanan JDT meskipun kebolehannya berjaya ditampilkan di peringkat antarabangsa.

Semasa beraksi bersama Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Mac lalu, pemain kelahiran Kedah tersebut menunjukkan sentuhannya di hadapan pintu gol masih belum pudar.

Jadi, dengan sumbangannya jelas menarik minat ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, terdapat kemungkinan besar dia akan dibawa ketika saingan Piala Asia 2023.

Namun, isu konsistensi pastinya ditimbulkan pihak kejurulatuhan memandangkan Akhyar jarang diberikan peluang untuk beraksi dengan kerap.

WhatsApp Image 2023-05-15 at 16.50.29

Akhyar sukar mendapatkan tempat bersama JDT ketika ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Setakat 10 aksi Liga Super, penyerang sayap berusia 24 tahun tersebut hanya diturunkan sebanyak enam kali dengan kesemuanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Perkara itu sememangnya memberi impak negatif terhadap statistiknya apabila dia masih belum menjaringkan gol dalam liga dengan hanya satu bantuan jaringan dicatatkan.

Oleh itu, Akhyar pastinya terbuka untuk mencari angin baharu dalam kariernya, lebih-lebih lagi secara pinjaman untuk baki musim 2023.

Terengganu FC dilihat sebagai antara kelab terbaik untuk menerima kehadirannya memandangkan kedua-dua pihak pernah dikaitkan sebelum ini.

Meskipun khabar angin itu sebelum ini ditolak secara mentah-mentah oleh pihak pengurusan, ketumpulan jentera serangan Sang Penyu pasti memaksa mereka untuk berfikir semula.

3. Manuel Hidalgo (KDA FC)

Walaupun baru sahaja tiba di Kedah Darul Aman (KDA) FC Januari lalu, pemain kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo dikatakan sukar untuk menyesuaikan diri.

Dalam 10 aksi Liga Super, penyerang bertubuh kecil itu sudah meraih kepercayaan daripada ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk diturunkan dalam kesemua perlawanan.

Bagaimanapun, dalam kesemua penampilannya itu, pemain berusia 24 tahun berkenaan hanya menjaringkan dua gol dan merekodkan tiga bantuan gol.

Pulangan itu sememangnya menunjukkan penurunan ketara berbanding musim lalu ketika mana dia masih beraksi bersama Sri Pahang FC.

WhatsApp Image 2023-05-15 at 16.49.26

Hidalgo masih belum mendapatkan rentak terbaik bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Baru-baru ini, terdapat khabar daripada ejen Hidalgo yang mengatakan pemain berkenaan terbuka untuk mencuba nasib di Indonesia.

Namun, kesukaran untuk menyesuaikan diri di negara tersebut akan hanya memberi tekanan buat Hidalgo untuk mendapatkan semula rentaknya di atas padang.

Oleh itu, sekiranya penyerang lincah terbabit berhasrat untuk mencari cabaran baharu, Terengganu FC boleh dilihat sebagai destinasi terbaik.

Di samping kelab itu memerlukan seorang penyerang sayap dengan segera, pengalamannya beraksi di Pantai Timur pasti akan memudahkan proses untuknya menyesuaikan diri.

Persoalannya, dengan Hidalgo baru sahaja tiba di Utara tanah air, adakah KDA FC akan terbuka untuk membenarkannya pergi pada jendela perpindahan secara tetap? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram