'Expect the worst', Safawi ada cabaran lebih keras di Indonesia berbanding Thailand


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Penyokong Indonesia antara penyokong paling fanatik di Asia Tenggara. — Agensi

NAMA Safawi Rasid meniti di bibir peminat bola sepak Indonesia ketika ini tatkala dikaitkan dengan perpindahan ke negara jiran.

Pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT) tersebut ketika ini berkelana di Ratchaburi FC dan disebut-sebut bakal berhijrah ke Persib Bandung, yang berpangkalan di Bandung, Jawa Barat.

Perpindahan dari Liga Thailand ke Liga Indonesia dilihat boleh memberi kelebihan kepada Safawi, namun di sebalik itu, ada cabaran keras yang menantinya.

Ini kerana pemain berusia 26 tahun itu perlu beraksi di negara yang cukup dikenali dengan penyokong fanatik bola sepak.

photo1683783381

Safawi dikaitkan dengan kelab Persib Bandung. — Instagram @safawirasid29 / Republik Bobotoh

Kajian keluaran Nielsen dalam World Football Report 2022 mendedahkan penyokong Indonesia merupakan peminat fanatik kedua di belakang Vietnam dengan 68 peratus daripada 275 juta populasi penduduknya mengikuti bola sepak secara rapat.

Penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, Safawi berpeluang mendapat pendedahan baharu sekiranya dia berhijrah ke Indonesia.

"Dari segi bakat tu dia memang dah diketahui sebagai pemain berbakat, tapi di Indonesia, dia akan dapat cabaran baharu berbanding dengan apa yang dihadapi di Thailand.

IMG_20190907_093811_647

Penyokong Indonesia antara penyokong paling fanatik di Asia Tenggara. — Adam Ghazali

"Kalau di Thailand, mungkin dia sedikit bergelut sebab rumpun berbeza tapi harus diingat, walaupun Malaysia-Indonesia, dari rumpun sama, tetap ada kelainan juga.

"Perkara sama dalam bola sepak akan dihadapi oleh Safawi di negara jiran cuma cabaran lebih keras kerana penyokong Indonesia merupakan peminat fanatik," katanya kepada Majoriti.

Zulakbal yang juga Profesor Madya Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, Safawi perlu belajar mengendalikan dan menangani tekanan daripada penonton tegar bola sepak Indonesia.

"Saya ingat ada benarnya sebagai pemain profesional, Safawi perlu bersedia dari segi mental dan expect the worst (jangkakan perkara terburuk) untuk bermain di kelab Indonesia itu," katanya.

pusi_1639640734

Safawi ketika beraksi dengan skuad Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2019. — Facebook/ FAM

Safawi sebelum ini pernah 'diserang' penyokong tegar bola sepak Indonesia yang tidak berpuas hati selepas dia dibenarkan bermain dalam kempen Piala AFF 2021 walaupun menjadi kontak rapat kepada Akhyar Rashid yang positif Covid-19.

Nasib berbeza menimpa pemain kacukan Indonesia, Elkan Baggott apabila dia diarahkan untuk dikuarantin selama lima hari kerana menaiki satu pesawat dengan seorang penumpang positif Covid-19.

Begitupun Bagott berpeluang tampil di bahagian pertahanan Indonesia setelah tamat tempoh kuarantin yang menyaksikan dia membantu skuad Merah Putih menang 4-1 ke atas Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram