KELANTAN FC baru-baru ini menggembirakan penyokongnya apabila pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman mengesahkan akan membawa masuk pemain dari kelab gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Namun Norizam ataupun lebih mesra dengan panggilan Zamsaham mengesahkan bahawa perkara berkenaan akan menjadi realiti sekiranya mendapat perkenan pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Sejak perkongsian dari usahawa berkenaan, ramai penyokong pasukan Kelantan mulai membuat senarai impian pemain mereka sendiri seperti berharap pemain seperti Safawi Rasid akan menyarung jersi TRW.
Sebahagian penyokong bagaimanapun berpijak pada realiti yang mana hanya mengharapkan pemain seperti Mohamadou Sumareh, Adam Nor Azlin dan juga Ramadhan Saifullah.
Ketika penyokong teruja dengan berita kehadiran pemain dari juara bertahan Liga Super itu, lain pula jadinya apabila ada dalam kalangan pemain Harimau Selatan seperti memberi petunjuk agar tidak dipinjamkan ke Kelantan pada pusingan kedua nanti.
Seperti pemain naturalisasi negara, Sumareh yang kelihatan semakin menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan untuk menjadi pemain utama Harimau Selatan.
Tangkap layar komen dari Jordi mengenai Sumareh.
Malah, kesungguhan itu juga diperakui ketua pasukan JDT, Jordi Amat sehingga mengangkat tonggak berusia 28 tahun itu sebagai pemain paling bernilai ketika sesi latihan Harimau Selatan.
Dengan segala kudrat yang diberikan pemain kelahiran Gambia itu, Sumareh seolah-olah ingin menunjukkan bahawa dia masih mempunyai kualiti untuk menjadi tonggak utama Harimau Selatan.
Sejak kehadiran pemain muda, Arif Aiman Hanapi ke JDT, Sumareh semakin kehilangan posisinya sebagai pemain sayap kanan dan musim ini sahaja bekas tonggak Pahang itu masih belum penampilan di saingan Liga Super.
Selain itu, ada juga penyokong yang membuat andaian bahawa Sumareh berasa terancam dengan masalah dalaman Kelantan sehingga membuatkan pemain itu berusaha untuk kekal di JDT.
Mana tidaknya, beberapa bulan lalu pihak pengurusan Kelantan didakwa bersikap tidak profesional terhadap para pemainnya dan termasuklah hal berkaitan bekas pengendali, Choi Moon-sik.
Terbaharu, Norizam dikritik selepas membuat kenyataan membayar gaji penuh para pemainnya sekiranya mereka mampu mencatatkan kemenangan seperti yang diminta.
Perkara tersebut disuarakan olehnya dalam satu hantaran di laman Facebook selepas terdapat rungutan daripada para pemain yang tidak dibayar gaji penuh dan juga bonus KPI setakat ini. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram