MALAYSIA bakal memulakan perjalanan di Piala Asia 2023 dengan cukup mendebarkan apabila diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan yang kini berada di ranking ke-27 dunia manakala Jordan dan Bahrain masing-masing di tangga ke-84 serta ke-85.
Meskipun, skuad kendalian Kim Pan-gon berada di ranking ke-138 dunia namun ia bukan satu halangan untuk skuad Harimau Malaya memberi kejutan kepada lawannya di kejohanan tersebut.
Anak didik Pan-gon kini dalam prestasi yang cukup memberangsangkan apabila mencatatkan kemenangan dalam dua aksi terakhir menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.
Walaupun di atas kertas Harimau Malaya dijangka menjadi pasukan belasahan tapi rata-rata penyokong bola sepak memberikan kata semangat buat anak buah Pan-gon.
Malah ada penyokong menyatakan rata-rata pemain yang membarisi skuad kebangsaan pernah menewaskan gergasi Asia semasa mereka mewakili Harimau Muda.
Majoriti imbas kembali empat perlawanan Harimau Muda pernah tewaskan pasukan gergasi Asia:
Safawi Rasid melepaskan rembatan padu ketika mengambil sepakan penalti menentang Jordan. — Agensi
1. Malaysia 1-1 Jordan (Piala Asia B-23 2018)
Jaringan penalti Safawi Rasid selepas Akhyar Rashid dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti berjaya mengikat Jordan.
Skuad kebangsaan yang hadir ke kejohanan itu sebagai status pasukan bukan pilihan selepas diundi bersama tiga negara timur tengah iaitu Arab Saudi, Iraq dan Jordan.
Dalam perlawanan itu enam pemain kebangsaan yang ketika ini menjadi pilihan Pan-gon tersenarai dalam kesebelasan utama dan simpanan.
Pemain-pemain tersebut ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Dominic Tan, Azam Azih dan Syamer Kutty.
Daniel Amier menghadiahkan satu gol menerusi rembatan deras sekali gus memastikan Harimau Muda melayakkan diri ke slot suku akhir. — Agensi
2. Arab Saudi 0-1 Malaysia (Piala Asia B-23 2018)
Malaysia berjaya mencipta sejarah di China selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk merangkul slot suku akhir buat kali pertama di pentas kejohanan Piala Asia B-23 tahun.
Walaupun berdepan dengan gergasi bola sepak Asia, skuad Datuk Ong Kim Swee menunjukkan persembahan yang cukup menakjubkan di Stadium Kunshan, China dan berjaya meraih tiga mata melalui gol yang dijaringkan oleh Daniel Amier pada separuh masa pertama.
Dalam perlawanan itu, Kogileswaran Raj, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid bekerja dengan cukup keras untuk menekan pertahanan Arab Saudi secara agresif.
Dalam perlawanan itu enam pemain kebangsaan sama pilihan Pan-gon tersenarai dalam kesebelasan utama dan simpanan.
Safawi Rasid menampan bola ke dalam gawang gol Korea Selatan selepas kesilapan penjaga gol lawan. — Arena
3. Malaysia 2-1 Korea Selatan (Sukan Asia 2018)
Safawi Rasid muncul wira skuad B-23 tahun negara apabila menjaringkan dua gol untuk Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan bola sepak Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.
Kemenangan Malaysia ini sudah pasti tidak akan dilupakan penyokong-penyokong bola sepak negara selepas Harimau Muda mencipta kejutan menewaskan juara bertahan.
Ketika itu Korea Selatan dibarisi dengan pemain-pemain bintang seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan dan Kim Min-jae yang kini mencipta nama di pentas Eropah.
Pemain pilihan Pan-gon yang berada dalam skuad itu adalah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Syahmi Safari, Dominic Tan dan Faisal Halim.
Tangkap layar video insiden pergaduhan membabitkan pemain Malaysia dan UAE di Stadium Shah Alam.
4. Malaysia 2-0 Emiriah Arab Bersatu (UAE) (Perlawanan Persahabatan 2018)
Kemenangan 2-0 Harimau Muda ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, Selangor membuktikan negara Arab itu bukanlah kebal dan mereka wajar belajar menerima kekalahan.
Sebaliknya yang berlaku, UAE seperti sukar terima keputusan itu dan bertindak melakukan provokasi sehingga mencetus pergaduhan membabitkan keseluruhan pemain kedua-dua pasukan.
Insiden tersebut berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 menerusi jaringan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram