WALAU di mana kita berada tuntutan solat lima waktu sehari wajib dilaksanakan meskipun kita sedang menonton perlawanan bola sepak.
Itulah yang ditunjukkan oleh seorang penyokong cilik dipercayai di Algeria yang membuka mata orang ramai untuk sentiasa tidak melupakan rukun islam kedua iaitu solat walaupun anda berada di stadium.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang penyokong cilik yang menyaksikan perlawanan di antara USM Khenchela dan JS Kabylie di Liga Algeria dilihat sedang solat di suatu sudut dalam stadium berkenaan.
Penyokong cilik yang memakai jersi bernombor 10 lengkap berkasut menunaikan solat dengan beralaskan kain untuk dijadikan sejadah sambil diperhatikan orang ramai yang hadir ke stadium.
Menyentuh perasaan orang ramai apabila penyokong cilik ini tidak berkira-kira untuk menunaikan solat di mana-mana sahaja kawasan dalam stadium meskipun di belakang tempat duduk simpanan pemain.
Malah di media sosial, rata-ratanya orang ramai meninggalkan komen mendoakan kesejahteraan penyokong cilik tersebut.
"Semoga Allah menjadikan anda orang yang soleh dan beriman sehingga akhir hayat hidup anda," kata @Roesminie.
"Semoga Allah melindungi dan merahmati kanak-kanak lelaki itu," jelas @Fibermolder.
"Semoga Allah menjawab segala doa kanak-kanak itu dengan rezeki melimpah ruah di dunia dan di akhirat," ujar @Mohamed_Rizack.
Untuk rekod perlawanan di antara USM Khenchela dan JS Kabylie berkesudahan dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram