'Chelsea Malaysia' antara 5 kelab syarikat ternama pernah tabur bakti sebelum 'mati' di Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Felda United pernah dibarisi pemain-pemain bintang di negara ini. — Facebook

PERKARA pertama yang menjengah pemikiran apabila melihat isu tunggakan gaji yang berlaku dalam Liga Malaysia, adalah sejauh mana kesediaan setiap pasukan terutamanya dari segi kewangan untuk bersaing di setiap musim baharu nanti.

Kesedaran kebanyakan pasukan mengenai perkara ini nampak seperti masih terlalu rendah walaupun saban tahun kita dimomokkan dengan pelbagai isu yang berkaitan kewangan.

Malah sebelum ini dalam Liga Malaysia, sudah ada banyak kes lampau pasukan bergelut menangani masalah kewangan namun bezanya mereka membuat keputusan menarik diri lebih awal agar tidak menimbulkan konflik di kemudian hari.

Meskipun pasukan-pasukan tersebut diasaskan oleh syarikat-syarikat ternama dalam Malaysia ia masih belum mampu untuk mempersiapkan diri dengan kewangan lebih kukuh dan meyakinkan.

Majoriti senaraikan lima pasukan berasaskan syarikat yang mewarnai Liga M, tetapi akhirnya terpaksa ditutup operasinya kerana masalah kewangan dan trend semasa:

Sime Darby ketika menjuarai Piala FAM pada 2017.

1. Sime Darby

Sime Darby kembali mengesahkan tiket beraksi di Liga Perdana apabila skuad dibimbing Ahmad Yusoff menutup musim 2017 dengan cukup cemerlang dengan menjuarai Piala FAM, menewaskan UKM FC.

Tetapi hasrat menyaksikan kelibat pasukan digelar ‘the giant-killers’ itu tidak kesampaian apabila mereka memilih mengucapkan selamat tinggal dengan kos pengurusan pasukan yang meningkat dilaporkan sebagai punca utama.

Pasukan itu mewarnai bola sepak Malaysia sejak 2010 dan mula mencipta nama selepas muncul juara Piala FAM tahun tersebut sebelum layak beraksi dalam saingan Liga Premier selama tiga tahun dari 2011-2013.

Sime Darby beraksi dalam Liga Super selama dua musim dari 2014-2015 sebelum tersingkir ke Liga Perdana pada 2016.

Antara pencapaian paling membanggakan pasukan ini adalah mara ke final Piala FA pada 2012 yang mana mereka kecundang 0-1 hasil jaringan tunggal Mohamed Ghaddar. Mereka juga turut pernah dinobatkan sebagai kelab bola sepak terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun yang sama.

MPPJ FC pernah mendapat gelaran ‘Chelsea Malaysia’.

2. Selangor MPPJ FC

Sebelum wujudnya Johor Darul Takzim (JDT), pasukan Selangor MPPJ adalah satu-satunya pasukan kelab yang pernah menjulang Piala Malaysia.

Selepas kejayaan bersejarah menjulang Piala Malaysia pada 2003, ia membawa kepada pelaburan yang lebih tinggi dan mula berbelanja dengan boros untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti dan berstatus pemain kebangsaan, sehingga digelar ‘Chelsea Malaysia’.

Mereka bagaimanapun bergelut untuk menyesuaikan diri bermain di Liga Super dan keadaan diburukkan dengan kehilangan beberapa pemain utama, masalah pembayaran gaji, bonus dan hutang-hutang lain.

Ia lantas membawa kepada keputusan memotong dana kelab dibuat dan survival tidak dapat diteruskan. Pasukan ini dibubarkan selepas mereka gagal mendapatkan dana yang cukup bagi mendaftarkan pasukan untuk bertanding di Liga Malaysia pada 2007.

Public Bank FC

Public Bank FC mengambil keputusan untuk menarik diri kerana masalah kewangan.

3. Public Bank FC

Public Bank FC merupakan sebuah kelab berpangkalan di Selayang, Selangor serta dimiliki oleh Public Bank Berhad.

Pasukan ini berjaya menjadi juara Liga Perdana sekali gus dinaikkan pangkat untuk beraksi di saingan tertinggi bola sepak Malaysia iaitu Liga Super.

Tahun pertama Public Bank FC di Liga Super, pasukan ini berjaya menjadi naib juara bagi kejohanan musim 2004.

Malang menimpa pasukan ini apabila hanya mampu menduduki tangan ketujuh daripada lapan pasukan yang bertanding di Liga Super 2005.

Hal itu memaksa Public Bank FC kembali beraksi di divisyen kedua iaitu Liga Perdana.

Pada akhir musim 2005, Public Bank FC mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia kerana masalah kewangan.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman dilarang daripada beraksi selama lima tahun ekoran daripada tindakan menarik diri itu.

PKNS FC dibubarkan bagi beri laluan untuk dijadikan skuad simpanan Selangor FC. — Facebook

PKNS menjadi mangsa trend terbaru yang melanda bola sepak Malaysia apabila banyak pasukan 'dimatikan' untuk dijadikan kelab simpanan.

Datuk K. Rajagopal membawa kelab ini meraih catatan tertinggi apabila mendapat tempat ketiga, setahun sebelum dijadikan kelab penyuap Selangor.

Pasukan ini juga merupakan juara Liga Perdana pada tahun 2011 dan tujuh kali menjadi empat pasukan terbaik di divisyen kedua Liga M sepanjang sembilan tahun berada di Liga Perdana.

Felda United

Felda United pernah menjadi antara pencabar terkuat pasukan JDT. — Agensi

5. Felda United

Selepas diselebungi beberapa isu termasuk konflik dalaman, Felda United mengumumkan pasukan tersebut tidak akan menyertai Liga Super mahupun Liga Perdana pada musim 2021.

Felda United sebuah kelab berdaya saing tinggi yang mana pernah memenangi Liga Perdana 2010 dan 2018, juga naib juara Piala FA 2007 dan merupakan antara pasukan yang pernah bermain di Piala AFC.

Penarikan diri Felda United mendapat perhatian luas pemerhati bola sepak, malah MFL sendiri merayu supaya Felda United memikirkan semula keputusan menarik diri itu.

Antara pencapaian terbaik Felda United United sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia ialah naib juara Liga Super 2016 dan juara Liga Perdana sebanyak dua kali pada 2010 serta 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram