Kesan ‘missing link’ punca skuad B-22 gagal beri persembahan terbaik di Sukan SEA — Penganalisis


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Harith Haiqal merupakan salah seorang AMD yang berada dalam skuad B-22 ini. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah-22 (B-22) terpaksa akur dengan kegagalan tidak layak ke pusingan akhir Sukan SEA selepas tewas dua perlawanan di tangan Thailand dan Vietnam baru-baru ini.

Walaupun berjaya menewaskan Laos dan Singapura dengan jaringan besar, anak-anak buah E. Elavarasan masih belum dapat mengulangi kejayaan Harimau Muda memenangi pingat emas pada 2011.

Dengan kegagalan pemain-pemain muda melangkah ke pentas akhir Sukan SEA, penyokong dilihat tidak dapat menerima pencapaian skuad B-22 itu.

Penyokong-penyokong bola sepak mula melontarkan pelbagai idea buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mewujudkan satu sistem bagi pemain-pemain muda.

Datuk Dr Pekan Ramli.

Mengulas lanjut kegagalan skuad Harimau Muda di Sukan SEA, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pasukan muda gagal layak ke pentas akhir kerana tiada perancangan yang rapi berbanding kejohanan dwitahunan itu sebelum-sebelum ini.

"Kita sudah tahu Sukan SEA merupakan temasya dwitahunan yang sudah berjadual, kita juga dah tahu setiap dua tahun siapa tuan rumah yang akan menganjurkan Sukan SEA.

"Jadi tak akan kita nak beri alasan tiada masa untuk persiapkan pasukan dengan tempoh masa yang pendek?

"Dalam hal ini kita sebenarnya yang perlu buat perancangan lebih awal jika kita sudah tahu pasukan kita tiada kualiti yang kita mahukan supaya tidak berlaku persiapan ataupun masalah 'last minute'.

"Jika kita serius mahukan kemenangan cara kita merancang pasukan itu perlu betul, kita ambil contoh masa skuad 2011 dulu berapa lama masa yang diambil untuk bentuk pasukan juara sehinggakan mereka ini dihantar untuk bermain di liga luar negara," katanya pada Majoriti.

Harimau Muda

Barisan pemain-pemain Harimau Muda A. — Facebook

Disoal mengenai lambakan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dilihat gagal membantu skuad muda kebangsaan dalam Sukan SEA kali ini, Pekan mempersoal proses pembangunan lepasan AMD selepas mereka tamat pelajaran daripada akademi tersebut.

"Keputusan Sukan SEA ini, sedikit sebanyak mencerminkan kepada AMD, ia kerana rata-rata 'first batch' pemain AMD berada dalam skuad B-22 kali ini, tapi kita tidak boleh meletakkan 100 peratus kegagalan kepada pemain AMD ini.

"Sebabnya 'first batch' ini sudah meninggalkan AMD hampir tiga atau empat tahun jadi kita tidak tahu semasa tempoh itu mereka dapat meningkatkan prestasi ataupun adakah mereka dilatih dengan betul supaya dapat meningkatkan potensi mereka sewaktu di dalam akademi?

"Mungkin dengan segala faktor ini, bila sampai masa mereka dipanggil untuk mewakili negara atas tiket bekas AMD mereka tidak dapat bermain baik kerana prestasi mereka tidak pernah meningkat," ujarnya.

Malaysia B-22

Skuad B-22 meraikan jaringan gol selepas membenam Singapura 7-0 pada Khamis. — Facebook/FAM

Tambahnya lagi, beliau merasakan terdapat sesuatu yang hilang buat pemain-pemain AMD ini selepas mereka keluar daripada akademi dengan usia yang sangat muda.

"Saya anggap ini satu 'missing link' selepas mereka keluar daripada AMD waktu umur 17 tahun sampai sekarang sudah berumur 21 tahun yang mana mereka tiada peningkatan bila mereka keluar.

"Jadi kita tidak boleh buat anggapan bahawa graduan bola sepak yang dikeluarkan AMD ini tidak berkualiti.

"Ia kerana semasa mereka berada di AMD kesemua pemain ini sangat bagus, tapi dalam tempoh tiga atau empat tahun yang berlaku di persekitaran graduan AMD ini mungkin punca kenapa mereka semua tidak boleh beraksi dengan baik.

"Proses peralihan yang tidak betul oleh graduan AMD yang mana sepatutnya dalam tempoh tiga atau empat tahun ini mereka menjadi lebih bagus dan matang dalam permainan masing-masing.

"Tapi apabila perkara itu tidak berlaku, apa yang kita dapat lihat di Kemboja ini menunjukkan ia beri kesan kepada prestasi pasukan kebangsaan.

Menurutnya lagi, bagi memperbaiki 'missing link' ketika tempoh peralihan pemain AMD ke dunia bola sepak profesional, patut diwujudkan pasukan yang mana graduan dapat bermain bersama dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Piala MFL yang diwujudkan oleh MFL musim ini mungkin salah satu jawapan tapi ia bukanlah platform sepenuhnya bagi graduan akademi-akademi bola sepak di negara ini.

"Sepatutnya yang kita perlu lakukan ialah memastikan graduan AMD ini boleh kita kekalkan untuk dua tiga tahun.

"Kita perlukan satu program selepas AMD dengan wujudkan pasukan baharu supaya mereka dapat bersama-sama untuk kekalkan 'bonding' dan 'chemistry' sesama mereka untuk memperkukuhkan pasukan.

"Sebagai contoh sistem Harimau Muda B, Harimau C yang mana mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa. Malah sistem ini juga supaya membolehkan kita tidak kehilangan bakat-bakat berpotensi untuk mengharumkan nama negara ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram