AFC iktiraf 'selempang ikonik' Selangor FC, fans pula rindu kelibat import nombor 16


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Barisan pemain Selangor FC ketika musim 2016. — Facebook/Selangor FC

SEJAK 2020 pasukan Selangor FC sering mengeluarkan 'design' jersi yang berjaya menarik perhatian ribuan penyokong bola sepak dalam dan luar negara untuk memilikinya dengan harga mampu milik.

Selangor FC yang mendapat tajaan syarikat pakaian sukan dari Sepanyol, Joma selalu tampil dengan idea baharu bagi memberi kemeriahan kepada penyokong Selangor untuk terus menyokong skuad Gergasi Merah.

Tema jersi Selangor FC tahun ini mengambil sumber inspirasi daripada Stadium Shah Alam sebagai penghormatan terakhir kepada ikon negeri Selangor Darul Ehsan yang akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan kompleks sukan Shah Alam.

Namun apa yang lebih menarik lagi ialah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam Instagram memuat naik gambar jersi Selangor pada 2016 dengan kapsyen 'selempang ikonik'.

Tahun tersebut merupakan penyertaan kali terakhir Selangor di pentas Asia yang mana sehingga kini juara 33 kali Piala Malaysia itu masih belum mampu melakukan kemunculan semula dalam Piala AFC.

Mauro Olivi ketika menyarung jersi Selangor FC pada 2016. Instagram/AFC

Gambar yang dimuat oleh AFC itu ternyata menghadirkan rasa rindu penyokong Gergasi Merah dengan bekas pemain import mereka iaitu Mauro Olivi yang beraksi bersama Selangor pada 2016.

Sepanjang mewakili Selangor FC, Olivi berjaya menjaringkan sembilan gol daripada 25 penampilan di semua kejohanan domestik ataupun antarabangsa.

Pada 2016, Selangor FC menggunakan khidmat lima pemain import iaitu Robert Cornthwaite, Ugo Ukah, Andik Vermansyah, Mauro Olivi dan Patrick Wleh.

"Lama tak tengok Mauro Olivi beraksi, last tahu pasal dia waktu dengan Selangor lepas itu terus hilang dari radar," kata Shamsul Abdul.

"Zaman-zaman ini Liga Malaysia masih ada saingan seronok tengok tiga atau empat pasukan bersaing untuk jadi juara Liga Super," jelas Mokhtar Jasin.

"Rindu nak tengok Andik Vermansyah main dengan Selangor, lepas dia tak ada pemain Indonesia yang boleh ikut jejak langkah Bambang Pamungkas dengan Elie Aiboy," luah Mohd Akmal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram