Bekas rakan Mat Yo antara 3 bintang import terbaik kelab bawahan Thailand untuk Liga M


  • Podium
  • Ahad, 14 Mei 2023

Tardeli Barros pernah beraksi bersama Norshahrul Idlan Talaha semasa di BG Pathum United. — Agensi

BURIRAM United dinobatkan sebagai juara Thai League 1, menandakan liga bola sepak Thailand telah menutup tirai kejohanannya pada musim 2022/23.

Kapten pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Dion Cools turut menjadi salah seorang pemain yang menjuarai Liga Thailand itu.

Namun seperti liga bola sepak lain di seluruh dunia, pasukan ketiga tercorot pastinya diturunkan ke divisyen kedua mengikut peraturan sedia ada oleh setiap pengelola liga.

Di Thailand bekas pasukan Shahrel Fikri, Nakhon Ratchasima FC dan Nick Swirad, Nongbua Pitchaya FC antara pasukan yang tersingkir ke divisyen kedua liga selain daripada Lampang FC.

Meskipun tiga kelab ini tersingkir ke divisyen kedua liga, namun adakah anda tahu pasukan-pasukan ini mempunyai bintang import yang berkualiti.

Memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia semakin hampir, Majoriti senaraikan tiga import terbaik yang dimiliki pasukan bawah Liga Thailand:

Nongbua

Barros musim ini mewakili Nongbua Pitchaya FC. — Agensi

1. Tardeli Barros (Penyerang, Sayap)

Merupakan kapten pasukan Nongbua Pitchaya FC pada musim ini, Barros mempunyai pengalaman hampir sembilan tahun bermain dalam Liga Thailand.

Pemain kelahiran Brazil ini menyertai lapan buah kelab Thailand antaranya ialah BG Pathum United, Trat FC, Samut Prakan City dan lain-lain lagi.

Pada musim ini Barros menjaringkan 11 gol daripada 28 perlawanan liga serta melakukan tiga assist sepanjang diturunkan oleh pengendali pasukan, Theerawesin Seehawong.

Bekas bintang Suwon FC itu menjadi antara pemain yang menjaringkan gol tertinggi bagi rekod pasukan musim ini.

Nilai semasa Barros ialah RM 1.45 juta dan kontraknya akan tamat pada penghujung Mei ini.

Crislan berjaya menjaringkan enam gol dalam 14 perlawanan dan menghadiahkan satu 'assist' buat Nakhon Ratchasima. — Agensi

2. Crislan Henrique (Penyerang)

Melakukan 'debut' di Asia Tenggara bersama pasukan Nakhon Ratchasima FC di Liga Thailand musim ini menunjukkan Crislan Henrique antara salah seorang pemain yang bagus untuk dibawa ke Liga Malaysia.

Musim ini Crislan berjaya menjaringkan enam gol dalam 14 perlawanan dan menghadiahkan satu 'assist' buat pasukannya.

Baru berusia 31 tahun, ia boleh menjadi nilai tambah buat pasukan Liga Super untuk mendapatkan penyerang yang tidak terlalu berusia.

Crislan mempunyai banyak pengalaman bersama pasukan-pasukan di Brazil, Portugal, Jepun dan Korea Selatan.

Info menarik, Nakhon Ratchasima FC merupakan pasukan yang ke-13 buat bintang import kelahiran Brazil ini sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Sama seperti Barros, nilai semasa Crislan ialah RM 1.45 juta dan kontraknya juga akan tamat pada penghujung Mei ini.

Musim ini Tyronne melakukan 27 penampilan berserta tujuh gol dan empat 'assist' dalam Liga Thailand. — Agensi

3. Tyronne del Pino (Pemain Tengah)

Pernah beraksi bersama pasukan La Liga, UD Las Palmas ia menjadikan resume Tyronne del Pino agak menarik untuk disaksikan oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Sama seperti rakan sepasukan, Crislan Henrique, Nakhon Ratchasima FC merupakan pasukan 'debut' pemain kelahiran Sepanyol itu.

Musim ini Tyronne melakukan 27 penampilan berserta tujuh gol dan empat 'assist' dalam Liga Thailand.

Bermain di posisi nombor 10, Tyronne pastinya boleh menjadi nilai tambah pasukan Liga M kerana pengalamannya yang beraksi di pentas tertinggi Liga Sepanyol.

Selain Sepanyol, Tyronne juga pernah menabur bakti bersama pasukan dari Greece iaitu PAS Lamia sebelum hadir ke Thailand.

Nilai semasa pemain berusia 32 tahun ini agak rendah dari dua bintang import di atas yang mana dia dianggarkan RM 1.21 juta dan kontraknya juga akan tamat pada penghujung Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram