Selepas Pak Din, giliran pemain muda Kelantan FC pula kongsi kerinduan main dengan Penang FC


  • Podium
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Danial (kiri) kini kembali ke pangkuan Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/TRWKelantanFC

TIDAK sampai sehari berita mengenai kemungkinan pulangnya seorang bekas awang import ke pangkuan Penang FC pertengahan musim ini , kini seorang lagi bekas pemain serangan skuad Harimau Kumbang turut memberikan isyarat sama.

Individu dimaksudkan ialah pemain penyerang, Danial Ashraf, 26, yang kini beraksi bersama Kelantan FC.

Menerusi hantaran ringkas di Instagramnya, pemain yang pernah muncul bersama Penang FC selama semusim itu dipercayai meluahkan kerinduannya terhadap pasukan Pulau Mutiara itu.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada hantaran itu adalah membawa maksud akan hasrat Danial untuk kembali menyarung jersi Harimau Kumbang.

WhatsApp Image 2023-05-12 at 10.06.47 PM

Hantaran di Instagram Danial pada Jumaat. Instagram/danialashraf_17

Pada musim ini, Danial dilihat masih tidak berjaya menembusi kesebelasan utama skuad The Red Warriors (TRW) apabila hanya sekdar beraksi sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan.

Sepanjang tempoh hampir dua tahun bersama Penang FC, pemain yang beraksi sebagai penyerang kedua itu membuat sebanyak 34 penampilan dan menyumbang sejumlah enam jaringan dengan empat daripadanya adalah menerusi Liga Super.

Buat waktu ini, Penang FC tidak memiliki seorang pun penyerang tempatan yang boleh menjadi sandaran sebagai pengganti sekiranya penyerang import utama mereka, Giovanne Gomes direhatkan.

Dengan rekod prestasi boleh diharapkan itu, adalah tidak pelik sekiranya skuad Harimau Kumbang membuat pilihan untuk kembali mendapatkan semula khidmat Danial pada perpindahan pertengahan musim ini.

danial

Danial ketika beraksi bersama skuad Harimau Kumbang pada musim lalu. — Facebook/PenangFC

Tambahan pula, Penang FC yang kini berada di kedudukan pertengahan liga dilihat masih memerlukan penambahbaikan di barisan serangan bagi memastikan prestasi pasukan terus konsisten sehingga ke penghujung musim.

Pilihan untuk kembali mengambil Danial juga dilihat sebagai alternatif lebih baik dari segi kewangan memandangkan Penang FC tidak perlu membuat perbelanjaan yang besar berbanding mengambil pemain import.

Pada Khamis, Majoriti turut melaporkan mengenai hasrat tersirat dikongsikan bekas import Harimau Kumbang, Sheriddin Boboev yang memberi bayangan mengenai kepulangannya ke skuad Pulau Mutiara.

Pemain kelahiran Tajikistan itu pernah membuat sebanyak 22 penampilan bersama skuad Harimau Kumbang dan menyumbang enam gol sepanjang tempoh semusim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram