Tak sempat bawa masuk pemain baharu, sebuah kelab di Pantai Timur mungkin kena ‘ban transfer’


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Terengganu, Kelantan dan Sri Pahang antara kelab yang dikatakan akan dikenakan sekatan perpindahan pemain.

KEBELAKANGAN ini, penyokong bola sepak tanah air sudah mula dihidangkan dengan pelbagai khabar angin berkaitan kemasukan dan penyingkiran beberapa pemain walaupun jendela perpindahan belum bermula.

Seperti baru-baru ini, Sabah FC dan Penang FC menjadi antara pasukan terawal mengumumkan untuk menamatkan kontrak tonggak import mereka walaupun liga pusingan pertama masih berlangsung.

Selain daripada dua kelab tersebut, pasukan lain pula masih dihujani dengan desas-desus mengenai perpindahan dan penyingkiran pemain yang kurang pasti sumbernya.

Namun keadaan di Pantai Timur pula berbeza suasananya apabila difahamkan sebuah kelab bakal dikenakan sekatan perpindahan pemain.

Berita tersebut dikongsikan oleh wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman Twitter miliknya pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-05-10 at 18.20.23

Tangkap layar ciapan dari Twitter.

Sama ada Kelantan FC, Terengganu FC ataupun Sri Pahang, masih tiada kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut daripada ketiga-tiga pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu.

Bukan itu sahaja, isu tersebut juga sebelum ini pernah diluahkan oleh ejen bola sepak tempatan menerusi laman Twitter miliknya, Joe berbatov yang mana dia memberitahu ia sudah melibatkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Dah minta peguam panjangkan ke JK (Jawatankuasa) Tatatertib FAM. Kebal sungguh pasukan ini.. Cakap b*** pun terbang,” tulisnya.

Jika benar sekatan perpindahan pemain dikenakan terhadap kelab tersebut, maka masalah tersebut kembali lagi menghantui Liga Malaysia.

Musim lalu, isu tunggakan gaji yang menimpa Sarawak United menyebabkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perak FC juga dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh FIFA susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji lebih RM1.7 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram