Dilanda demam kuning, Sang Saka Biru tagih lebih budi bicara pengadil


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Azzmi Aziz menepis sebarang tanggapan yang mendakwa pasukannya bermain kotor. — Facebook/PDRM FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SEJUMLAH 30 kad kuning yang dihimpun daripada 10 perlawanan barangkali memberikan persepsi PDRM FC tidak mengamalkan ‘fair play’ (permainan adil) tapi ketua jurulatihnya, Azzmi Aziz, menepis sebarang tanggapan yang pasukannya bermain kotor.

Memiliki purata tiga kad kuning bagi setiap perlawanan, ada antara kad berkenaan yang dirasakannya tidak patut diterima seandainya pengadil menggunakan lebih budi bicara dan menimbangkan situasi di dalam perlawanan.

Malah, tambahnya, sebahagian kad kuning yang dilayangkan kepada pemainnya hanya membabitkan faul ringan dan bukan pun atas kekasaran yang boleh mencederakan atau apa yang boleh ditakrifkan sebagai perlakuan ganas.

“Memanglah di atas kertas, empat kad merah dan 30 kad kuning kepada PDRM FC setakat ini kelihatan tidak cantik.

“Ia seolah-olah memberi gambaran kami sebuah pasukan yang gemar bermain kotor sedangkan kalau diperhatikan satu-persatu kad kuning berkenaan, ia tidak pun begitu. Saya tidak katakan kesemuanya tapi sebilangan besarnya.

“Amat malang jika pengadil sudah pun mengecop kami sebagai pasukan bermain kasar, yang tentunya tidak akan menguntungkan kami dalam perlawanan-perlawanan mendatang,” keluhnya kepada Laptop Cabuk.

343595743_630894735561218_6743767774697467762_n

James Okwuosa mengawal pergerakan Kipre Tchetche. — Facebook/PDRM FC

Keadaan itu turut diperbualkan di media sosial hinggakan ada gurauan yang logo skuad Sang Saka Biru itu, dengan tambahan banyaknya warna kuning dan merah, harus lebih bermirip kepada adunan warna pelangi.

Ini didahului oleh tiga kad kuning yang diterimanya ketika tunduk 0-4 kepada Sabah FC dalam perlawanan sulungnya di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada 25 Februari lalu.

Namun, untuk memberikan gambaran lebih adil, tiga pemain Sabah – Daniel Ting, Park Tae-su dan Rizal Ghazali – turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil dalam perlawanan itu.

Ada tiga perlawanan lain yang menyaksikan skuad The Cops itu mengutip empat kad kuning dalam satu perlawanan, iaitu ketika berdepan Perak FC (H) pada 28 Februari, Kedah FC (A) pada 4 Mac dan Kuching City FC (A) pada 1 April lalu.

Selain pertemuan dengan Sabah, PDRM FC mengutip masing-masing tiga kad kuning dalam empat perlawanan lain ketika menentang Terengganu FC (A) 11 Mac, Penang FC (A) 9 April, JDT (H) 19 April dan Kuala Lumpur City FC (A) pada 27 April.

Penjaga gol, Ramdhan Hamid, pula mendahului senarai penerima kad merah di pihak The Cops ketika tewas 0-1 kepada Terengganu FC (A) 11 Mac, diikuti oleh Fadi Awad sewaktu tunduk 2-4 kepada Penang FC (A) 9 April, Kyaw Min Oo ketika ditewaskan JDT 0-1 (H) 19 April dan James Okwuosa tatkala kalah kepada KLC FC 0-3 (A) pada 27 April.

Dengan pertemuan menentang Sri Pahang FC (H) pada 5 April turut menghasilkan satu kad kuning serta aksi terdahulu dengan Kelantan United (H) pada 18 Mac mengundang dua, ini bermakna tiada satu perlawanan pun yang PDRM FC bebas daripada sebarang kad setakat ini.

“Saya tak pernah pertikaikan soal kad. Contohnya James (Okwuosa) yang kena kad merah lawan KL City kerana bergaduh, bertarik-tarik rambut (dengan petahanan KLC, Giancarlo Gallifuoco). Tapi ada juga situasi lain, yang pada pendapat saya, tak perlu.

“Kita lihat contoh Kyaw (Min Oo) yang kena kad kuning kedua kerana tertampan bola dengan tangan masa lawan JDT. Ia dari satu percubaan jauh dan bukan dalam situasi boleh menjaringkan gol tapi dia diarah keluar padang.

“Masa lawan Penang, Fadi (Awad) dapat kad kuning kerana satu ‘tackle’. Kemudian, dia buat satu faul profesional dengan menarik pemain lawan dekat bulatan di tengah padang. Jika diambil kira dia dah dapat kad kuning sebelum itu, kesalahan keduanya itu tidaklah terlalu berat. Tapi dia dilayangkan kad kuning kedua dan disuruh keluar.

“Kad merah kami bukannya kesalahan straight red, seperti permainan ganas atau meludah pemain lawan,” tambahnya.

343742879_266224292414167_1131328310449501566_n

Dzulfahmi (kanan) diasak Ryan Lambert (kiri). — Facebook/PDRM FC

Azzmi turut mempertahankan bahawa pasukannya, yang baru musim pertama beraksi dalam Liga Super, dan tidak harus ditakuti mana-mana lawan, hairannya turut mendapat provokasi mereka terhadap pengadil supaya The Cops dikenakan hukuman keras di dalam permainan.

“Ketika lawan Kuching, ada seorang pemain mereka dah dapat yellow, kemudian dia buat satu lagi kekasaran.

“Saya nampak jelas pengadil dah keluarkan kad kuning di tangannya tapi tak jadi layangkan kepadanya, mungkin dia sedar pemain itu kena tinggalkan padang untuk kesalahan yang tak seberapa.

“Inilah yang saya maksudkan yang pengadil perlu guna budi bicara dan lihat kepada situasi dalam permainan.

“Apa pun, saya hormati keputusan pengadil, saya tak pernah pun kritik mereka dalam sidang media selepas perlawanan. Kalau saya buat juga, mungkin saya kena denda atau digantung.

“Apa yang saya hendak tekankan di sini, PDRM bukanlah pasukan jahat, suka bentes kaki orang. Cuma, ada kalanya kami sukar hendak difahami (oleh pengadil),” katanya.

Sebagai sebuah pasukan berbajet kecil dengan pemain yang terhad, Azzmi turut berkongsi deretan kad kuning berkenaan menyukarkan perancangannya hingga terpaksa kerap menggilirkan pemain gara-gara penggantungan.

Mana-mana pemain yang sudah menerima tiga kad kuning, perlu menjalani penggantungan automatik satu perlawanan berikutnya.

“Bukan takat gilirkan pemain, setiap kali itu pula terpaksa ubah formasi hingga ada kalanya menjejaskan persefahaman dalam pasukan. Tapi terpaksalah kami main dengan kekuatan yang ada.

“Barangkali inilah nasib pasukan kerdil seperti PDRM FC,” keluhnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram