'Miss you guys', bekas import bagai beri 'hint' kembali beraksi bersama kelab utara Julai nanti


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Kedah Darul Aman FC dan Penang FC dikatakan bakal melakukan perbelanjaan pada jendela perpindahan akan datang. — Facebook/KDA FC

JENDELA perpindahan Liga Malaysia yang dijangka dibuka pada Julai sememangnya satu tempoh yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tempatan.

Wajah-wajah baharu bakal dibawa masuk dikatakan berpotensi untuk membawa pasukan masing-masing ke tahap baharu, lebih-lebih lagi kelab yang masih bergelut untuk melakar prestasi lebih baik.

Jadi, tidak hairanlah apabila khabar angin mula bertiup kencang dengan mengatakan sebilangan besar kelab Liga Super kini bersiap sedia untuk jendela berkenaan.

Antara kelab yang dikatakan merangka perancangan untuk melakukan rombakan ialah Penang FC yang berada di kedudukan ketujuh selepas 10 perlawanan.

Jentera serangan mereka pastinya menjadi tumpuan utama memandangkan hanya menjaringkan 16 gol setakat ini, yang sedikit sebanyak menyukarkan usaha pasukan untuk berada dalam kelompok lima teratas.

Oleh itu, pihak pengurusan dan kejurulatihan pastinya memberi penekanan terhadap posisi tersebut meskipun mereka memiliki Soony Saad sebagai penyerang berkualiti.

Jadi, tidak timbul sebarang tanda tanya apabila pasukan utara tanah air itu dikatakan sedang berusaha untuk mencari seorang pemain yang mampu menajamkan lagi serangan.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 11.05.06

Hantaran di Instagram Sheriddin yang menarik perhatian ramai pihak. Instagram/sheriddinm_

Baru-baru ini, harapan mereka seolah-olah terjawab apabila bekas import pasukan , Sheriddin Boboev seperti memberi bayangan mengenai kepulangannya ke skuad Harimau Kumbang.

Ia berikutan satu hantaran di laman Instagram peribadinya yang mengakui bahawa dia merindui rakan sepasukannya di Penang FC.

"Miss you guys," tulisnya ringkas sambil menyertakan poster skuad lengkap pada musim 2021.

Meskipun ia tidak memberi sebarang gambaran mengenai masa depannya, ia seolah-olah membuka pintu perundingan antara kedua-dua pihak mengenai perpindahannya.

Ketika ini, pemain berusia 24 tahun itu beraksi bersama kelab yang berpangkalan di Iran, Sanat Naft yang bergelut di divisyen teratas negara itu.

Sheriddin Boboev in action during Penang’s training early last month. - Photo by Penang FC

Sheriddin dikatakan mampu menyuntik bisa kepada jentera serangan Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Berdasarkan info yang diterima di laman sesawang transfermarkt.com, kontrak pemain kebangsaan Tajikistan itu bakal berakhir pada Jun akan datang.

Sepanjang semusim bersama skuad Harimau Kumbang, pemain berkenaan merekodkan pulangan yang cukup baik dengan menjaringkan enam gol serta mencipta empat bantuan jaringan.

Pulangan itu sedikit sebanyak membantu pasukan berkenaan menamatkan saingan di tangga ketiga dengan kerjasama bersama pemain import dan tempatan sukar dihentikan pihak lawan.

Oleh itu, dengan Penang FC memerlukan peledak tambahan memasuki separuh kedua musim, kehadiran Sheriddin mampu menyuntik bisa berbeza buat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram