Tonggak Sang Kenari kongsi cabaran tukar posisi sayap kiri


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Al-Hafiz (kanan) mengakui dia mengambil masa sedikit lama untuk menyesuaikan diri di bahagian sayap kiri. — Facebook/ KDA FC

DARI sayap kanan ke posisi sayap kiri, pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Al-Hafiz Harun mahu menyesuaikan diri dengan kedudukan baharu itu.

Dia percaya tempoh rehat Liga Super ketika ini akan memberinya masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan berkenaan.

Pemain berusia 29 tahun itu dikenali dengan larian dalam yang membolehkannya mengambil sepakan dengan kekuatan kaki kiri.

Namun ketibaan Manuel Hidalgo di bumi Darul Aman menyaksikan Al-Hafiz 'ditolak' sebagai flanker kiri memandangkan jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain mahu dia banyak membuat hantaran dengan kaki kiri.

345633670_952857152577609_1226526493900246234_n

Al-Hafiz berharap kerap mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas tempoh rehat liga berakhir. — Facebook/ KDA FC

Bekas bintang Penang FC itu mengakui dia mengambil masa sedikit lama untuk menyesuaikan diri di bahagian tersebut.

Itu sebabnya dia hanya mencetak satu gol setakat ini.

Al-Hafiz memulakan enam perlawanan dengan tiga penampilan sebagai pemain gantian, berasakan dia seorang pemain yang sesuai dengan taktikal jurulatih.

"Coach Nafuzi nampak saya cergas di sebelah kiri kerana saya suka bermain satu-dua, menggelecek melepasi pemain dan melakukan hantaran lintang dengan pantas.

"Pada mulanya, ia agak berbeza kerana sebelum ini saya bergerak ke dalam untuk membuat jaringan tapi kali ini jurulatih mahu saya menjadi pembekal kepada penyerang untuk membuat gol.

"Ketika tempoh rehat ketika ini, saya membiasakan diri di sebelah kiri and berharap dapat tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya hanya ada satu gol ketika ini namun sudah membuat beberapa bantuan gol. Posisi ini juga memberikan saingan sihat kepada rakan sepasukan lain," katanya.

345837679_231231772873051_3137585838190020910_n

KDA FC di bawah kendalian Nafuzi menduduki tangga kelima carta liga dengan 19 mata ketika ini. — Facebook/ KDA FC

KDA FC berada di Langkawi ketika ini bagi menjalani kem pengukuhan pasukan selama tiga hari dua malam.

Aktiviti itu sebagai persediaan untuk aksi liga yang bermula pada 18 Mei depan.

Sang Kenari akan menerima kunjungan Kelantan FC di Stadium Darul Aman pada 19 Mei.

“Kedah banyak menampilkan muka baharu musim ini dan ia hanya permulaan buat pasukan. Sebab itu persembahan kami naik turun sedikit.

"Tetapi dengan sesi latihan sebegini, ia akan menjadi lebih baik,” kata Al-Hafiz.

Kedah kini di tangga kelima carta liga dengan 19 mata. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram