[VIDEO] Aksi hebat adik Aqil dari Kuala Terengganu raih perhatian 3 hero TFC


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Aqil menunjukkan bakatnya dalam bola sepak ketika satu perlawanan amatur baru-baru ini.

TIDAK boleh dinafikan bahawa Terengganu FC merupakan antara kelab terbaik dalam Liga Malaysia dalam aspek melahirkan pemain muda.

Penjaga gol kebangsaan, Rahadiazli Rahalim serta bek kanan, Azam Azmi Murad merupakan sebilangan daripada yang menerima pendedahan awal dalam dunia bola sepak di pasukan Pantai Timur itu.

Ketika ini, usaha mereka juga seperti tidak terhenti memandangkan Terengganu FC II yang bersaing dalam Piala MFL sedang berada di tangga teratas dengan lambakan bintang-bintang baharu.

Khidmat pemain-pemain muda mereka juga terus didambakan apabila pasukan negara dalam kategori bola sepak Sukan SEA 2023 membariskan beberapa ubi muda Sang Penyu.

Baru-baru ini, naib juara Liga Super 2022 itu seakan-akan bakal menerima seorang lagi bintang yang mempunyai potensi untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

Dalam satu video yang dimuat naik pengguna media sosial bergelar Aidir Photography di TikTok pada Jumaat, seorang pemain cilik yang hanya dikenali sebagai 'Aqil' mencuri tumpuan ramai.

Dia yang difahamkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Terengganu dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola.

Aqil beraksi dengan cukup baik sehingga menarik perhatian ramai pihak.

Selain itu, kanak-kanak cilik yang dikatakan berusia 14 tahun itu bermain di samping pemain lebih berusia, yang mana boleh dianggap sebagai cabaran buat mereka.

Video yang kini sudah disaksikan ribuan penyokong bola sepak tanah air tersebut pastinya meningkatkan lagi tarikan orang ramai terhadap masa depan Aqil.

Bukan itu sahaja, perkara berkenaan juga menarik perhatian tiga pemain Terengganu FC yang seolah-olah teruja dengan bakat kelahiran negeri Pantai Timur itu.

Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah merupakan antara yang berasakan Aqil merupakan prospek baharu skuad Sang Penyu berdasarkan kebolehannya itu.

2036551

Mintah cukup terkenal dengan hubungannya bersama penyokong Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Bakat yang cukup baik, dia mempunyai masa depan yang cukup cerah sekiranya dia bekerja keras. Perancangan ALLAH adalah yang terbaik," katanya.

Selain itu, seorang lagi pemain muda Terengganu FC, Safwan Mazlan juga berkesempatan memuji pemain muda berkenaan yang juga mengharapkan bakatnya tidak disia-siakan.

"Umur berapa dia ni? Bagus juga budak ni, cerah masa depannya. Jangan abaikan budak macam ni, semoga dia terus belajar," katanya.

Bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov juga sempat memberi interaksi terhadap rakaman tersebut dengan memberikan tanda 'like' menerusi akaun Instagram peribadinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram