SEBELUM ini, nama bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Aidil Sharin Sahak difahamkan akan kembali ke Liga Malaysia (Liga M) apabila dikatakan mendapat tawaran daripada kelab di Pantai Timur.
Dengan Terengganu (TFC) yang menafikan bahawa berita mengenai perlantikan jurulatih baharu adalah tidak benar dan Kelantan FC baru sahaja melantik Frank Bernhardt, oleh itu Kelantan United FC (KUFC) adalah kelab sesuai mendapatkan khidmat Aidil Sharin.
Skuad Kijang Hijau difahamkan ingin mendapatkan khidmat pengendali berusia 45 tahun itu bagi menggantikan Tomas Trucha yang kini direhatkan susulan masalah prestasi.
Namun begitu, ketua jurulatih dari Singapura itu belum memuktamadkan sama ada akan kembali ke kancah liga domestik memandangkan beliau sedang mempertimbangkan tawaran lanjutan kontrak bersama Persikabo.
“Saya perlu bersikap adil dengan Persikabo yang masih inginkan khidmat saya. Ini minggu terakhir saya perlu berikan jawapan. Saya perlu muktamadkan keputusan hala tuju yang terbaik buat diri sendiri dalam masa sehari dua ini,” katanya memetik laporan Nadi Arena pada 5 Mei lalu.
Selepas seminggu berlalu, masih tiada sebarang kata putus dari Aidil Sharin sehingga dilaporkan Kelantan United kini beralih arah dan bakal melantik seorang jurulatih dari Brazil.
Trucha dilantik menjadi pengendali baharu KUFC pada awal Januari musim ini. — Facebook/KUFC
Perkara berkenaan didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di laman Twitter miliknya.
"Terkini. Kelantan United dikhabarkan sedang meneliti seorang calon Ketua Jurulatih daripada Brazil. Beliau sebelum ini pernah bimbing sebuah pasukan di Liga 1 Thailand," tulisnya.
Dengan pengalaman jurulatih itu pernah membimbing pasukan di Liga 1 Thailand, pastinya beliau tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan dirinya dengan landskap bola sepak Asia Tenggara.
Malah, kehadiran pengendali baharu sama ada Aidil Sharin ataupun jurulatih dari Brazil itu, pastinya skuad Kijang Hijau kini menunjukkan kesungguhan dalam mendapatkan kemenangan pertama sekali gus tidak lagi menghuni kedudukan tercorot liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,