Persiapan menentang Sabah FC sedikit terganggu — Tomi


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tomislav pastinya mengharapkan pertemuan dengan Sabah FC mampu menjadi medan kebangkitan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

PENGANJURAN temasya Sukan SEA 2023 yang berlangsung sejak 5 Mei sehingga 17 Mei menyaksikan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan aksi Liga Super.

Keputusan itu mendapat respons yang bercampur-baur daripada penyokong bola sepak tempatan memandangkan tempoh tersebut sedikit mengganggu rentak pasukan.

Namun, dengan kurang dari seminggu untuk perlawanan liga tempatan berlangsung, kemeriahan mula dirasai, lebih-lebih di media sosial.

Antara pertembungan yang pastinya dinanti-nantikan ialah perlawanan antara Terengganu FC dan Sabah FC yang bakal berlangsung pada 19 Mei.

Pertemuan yang akan diadakan di Stadium Likas, Sabah itu dijangka hangat meskipun prestasi kedua-dua pasukan 'ibarat bumi dan langit' ketika ini.

Bagi skuad Sang Badak, kemenangan ketika bertemu Selangor FC pada 27 April mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat Liga Super selepas 10 perlawanan.

Terengganu FC juga pastinya mengharapkan tiga mata selepas dua kekalahan berturut-turut menyaksikan pasukan Pantai Timur itu berada di tangga kelapan.

Jadi, dengan kedua-dua kelab mempunyai kelebihan tersendiri, sukar untuk orang ramai memilih pemenang dalam perlawanan hangat berkenaan.

DIR_1503-773x380

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan skuad Sang Penyu mencatatkan kemenangan. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media daripada skuad Sang Penyu pada Khamis, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner memberi sedikit kemas kini mengenai perlawanan dengan Sabah FC itu.

"Persediaan pasukan bagi perlawanan menentang Sabah FC diteruskan dengan meningkatkan program latihan secara berganda, terutamanya dari sudut kecergasan dan latihan padang.

"Namun, persiapan sedikit terganggu oleh kerana ada beberapa pemain mengalami kecederaan dan kurang sihat," katanya menerusi kenyataan itu.

Tambahnya lagi, aksi persahabatan bersama skuad Piala MFL Terengganu FC juga diadakan bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap optimum.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 1 Oktober tahun lalu yang menyaksikan skuad Sang Penyu membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram