Tiga wira tak didendang Terengganu, Selangor dan KL warnai kempen Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tempat ketiga Kumpulan B merupakan pencapaian skuad B-22 negara untuk kempen Sukan SEA 2023. — Facebook/FAM

KEKALAHAN yang dialami pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) bola sepak negara ketika aksi Sukan SEA 2023 mengesahkan penyingkiran mereka daripada temasya sukan dwitahunan itu.

Dua kad merah, kealpaan benteng pertahanan serta kegoyahan pemain dikatakan punca kontinjen negara gagal membawa pulang dalam sukan berkenaan.

Bagaimanapun, kekecewaan itu segera ditebus apabila mereka menamatkan saingan Kumpulan B dengan kemenangan bergaya 7-0 kepada seteru terdekat, Singapura.

Perlawanan itu seperti tidak diberi perhatian ramai memandangkan nasib negara dalam kategori itu sudah dimuktamadkan dengan tempat ketiga dalam kumpulan adalah pencapaian terbaik mereka.

Empat gol daripada pemain muda Kuala Lumpur (KL) City FC, T Saravanan membantu skuad negara mengumpul tiga mata dengan Haqimi Azim Rosli, Mukhairi Ajmal dan Aiman Afif Afizul turut mengumpul gol peribadi mereka.

Meskipun perjalanan mereka terhenti di peringkat itu, kesemua pemain pastinya berbangga dengan persembahan mereka dalam sukan terbabit.

Tambahan pula, ia dilihat sebagai medan terbaik buat mereka untuk menunjukkan bakat masing-masing dengan harapan untuk mewakili pasukan senior pada masa akan datang.

Walaupun mereka bakal kembali ke kelab sendiri selepas ini, jasa dan bakat wakil negara itu sememangnya sukar dilupakan penyokong bola sepak tanah air.

Namun, melihat kepada kesemua 20 pemain yang dibawa E Elavarasan, ia merupakan satu cabaran untuk memilih watak terbaik dalam pasukan B-22 itu.

Berdasarkan keempat-empat perlawanan yang ditempuhi dalam Sukan SEA Kemboja, terdapat tiga nama yang wajar diangkat sebagai wira tidak didendang setiap kali diturunkan.

1. Syahir Bashah

Pemain berusia 21 tahun, Syahir Bashah pada awalnya tidak mendapat perhatian memandangkan dia masih belum merekodkan sebarang penampilan dalam Liga Super 2023.

Dia yang terikat dengan Selangor FC bagaimanapun cukup terkenal, lebih-lebih lagi di peringkat remaja berdasarkan kebolehannya di padang.

Namun, ketika aksi pembukaan menentang Laos, Syahir mencuri perhatian dengan menjaringkan satu gol ketika skuad negara merekodkan kemenangan 5-1.

346067715_914030409707075_4335458986985899440_n

Syahir berpotensi untuk dibawa ke dalam skuad senior Selangor FC. Facebook/FAM

Jaringan pada minit ke-75 itu sekali gus memastikan Harimau Malaya B-22 memulakan kempen dengan langkah kanan di samping meningkat kepercayaan penyokong terhadap pasukan itu.

Sumbangan itu kemudiannya menyaksikannya diletakkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan kedua, yang mana satu langkah positif buatnya.

Meskipun dia kemudiannya gagal untuk menambah jumlah jaringannya sepanjang Sukan SEA, ia masih satu sinar positif buat pemain tengah muda berkenaan.

Tambahan pula, dengan Syahir masih belum merekodkan sebarang penampilan di peringkat kelab, potensi yang ditampilkannya mampu memberikan langkah baharunya bersama Selangor FC.

2. Ubaidullah Shamsul

Tidak boleh dinafikan bahawa Terengganu FC merupakan antara pasukan yang paling banyak menyumbang bakat dalam Sukan SEA 2023 memandangkan kedudukan mereka dalam saingan Piala MFL.

Antara yang diberi peluang untuk meraih pengalaman di peringkat antarabangsa ialah pemain tengah, Ubaidullah Shamsul dengan usianya baru sahaja mencecah 19 tahun.

Selain menyerlah di peringkat belia musim ini, pemain itu pernah mencuri nama ketika membantu skuad belia negara menjulang Piala AFF B-19 tahun lalu

WhatsApp Image 2023-05-11 at 23.25.31

Ubaidullah mempunyai pelbagai pengalaman di peringkat bola sepak belia.

Bagaimanapun, Ubai sekali lagi mencuri perhatian apabila menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Laos seawal minit keempat perlawanan.

Tetapi, reputasinya sedikit tercalar selepas dengan tidak sengaja menyumbat jaringan sendiri dalam aksi tersebut walaupun skuad negara mengumpul tiga mata pada akhirnya.

Khidmat pemain berkenaan kemudiannya ditagih untuk baki aksi kumpulan dengan satu 'clean sheet' direkodkan meskipun perjalanan mereka sudah berakhir.

Selepas ini, dengan Ubaidullah bakal kembali bersama Terengganu FC II, terdapat kemungkinan bakatnya akan terus berkembang di bawah kendalian Hairuddin Omar.

3. T Saravanan

Seperti dikatakan di atas, Saravanan menjadi hero dalam aksi terakhir Kumpulan B dengan menjaringkan empat gol ketika bertemu Singapura.

Pemain berusia 22 tahun itu sememangnya tidak mendapat perhatian pada awalnya memandangkan bakatnya tidak begitu terserlah di peringkat kelab.

Selain itu, Saravanan hanya berada dalam kesebelasan utama skuad negara sebanyak sekali ketika Sukan SEA dengan lambakan pemain di posisi berkenaan.

346083525_1619985748515988_3477999823738047934_n

Empat gol yang dijaringkan Saravanan (kiri) meningkatkan lagi reputasinya. Facebook/FAM

Jadi, dengan rekod empat gol yang dijaringkan, ia pasti akan meningkatkan lagi kepercayaannya di hadapan pintu gol lawan sekembalinya ke KL City FC.

Bersama skuad Warga Kota musim ini, bekas graduan akademi Selangor FC itu sudah diturunkan sebanyak lapan kali dengan tujuh daripadanya hadir ketika aksi Liga Super.

Namun, dengan pencapaian membanggakannya ketika aksi kumpulan terakhir tersebut, terdapat kemungkinan pengendali KL City FC, Bojan Hodak akan menggunakan khidmatnya dengan lebih kerap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram