SEORANG kanak-kanak Orang Asli mendakwa ternampak bapa saudaranya diterkam oleh harimau di bahagian kepala dan dia masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Alang Kuang, 8, merupakan satu-satunya saksi kejadian kehilangan bapa saudaranya, Halim Asin, 27, di Hulu Sungai Aring, Gua Musang, Kelantan, pada Selasa.
"Saya berlari dan terjun ke sungai sebelum berenang dalam ketakutan menuju ke lokasi ahli keluarga yang lain sejauh 500 meter untuk meminta tolong selamatkan pakcik (Halim).
"Saya beritahu datuk yang pakcik diserang harimau dan saya sangat takut,” katanya yang berbicara dalam bahasa Bateq, di rumahnya di Kampung Aring 5, Gua Musang pada Khamis.
Sejurus mendengar berita tersebut, Datuknya Asin Parang, 68, berkata dia bergegas ke tempat kejadian selepas Alang berlari mendapatkannya dalam keadaan menangis dan menceritakan peristiwa tersebut.
Asin berkata sebaik sampai di lokasi kejadian, mereka tidak menemui Halim.
"Seramai tujuh orang menaiki rakit menuju ke Kampung Aring 5 kerana takut haiwan terbabit muncul semula, tetapi kami hampa tidak menemui Halim," katanya.
Bercerita lanjut, Asin melahirkan rasa terkilan kerana mangsa tidak sempat menjamah hasil memancingnya berupa seekor ikan sebarau sebelum kejadian.
"Saya harap Halim dapat ditemukan secepat mungkin walaupun saya tidak dapat turut serta mencarinya kerana masih sakit kaki.
Hanya menantu, Kuang Camang, 31, yang mengikuti operasi.
"Saya juga harap harimau yang menyerang Halim dapat ditangkap dengan segera," katanya.
Terdahulu media melaporkan Halim Asin, 27, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing bersama anak saudaranya, Alang di Sungai Aring 5, pada dua hari lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
-- BERNAMA