Piala Asia: Kim Pan-gon akui kumpulan sukar tapi janji Harimau Malaya beri aksi terbaik


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Kim Pan-gon bersama trofi Piala Asia di Doha, Qatar. — Facebook/FAM

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon percaya skuad Harimau Malaya pasti berikan yang terbaik pada kempen Piala Asia 2023 kelak.

Meskipun berdepan cabaran sukar selepas diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam kejohanan Piala Asia di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari tahun depan.

Selepas majlis undian Piala Asia 2023 pada Khamis, Pan-gon akui bahawa saingan peringkat kumpulan E ini cukup mencabar.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Korea Selatan itu yakin anak buahnya pasti akan berusaha sehabis baik dalam kejohanan itu nanti.

Menurutnya, Harimau Malaya berjanji akan memberikan aksi terbaik bersaing dengan kesemua pasukan gergasi Asia tersebut.

"Kumpulan yang sukar. Korea Selatan adalah salah satu pasukan yang terbaik.

"Tetapi, kami akan cuba yang terbaik bersaing dengan mereka dan memberikan kebangaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Berdasarkan kemampuan semasa semua pasukan dalam Kumpulan E, Harimau Malaya sudah tentu berdepan tugas sukar dalam usaha mencipta kejutan melepasi peringkat kumpulan pada penampilan kali ini.

Untuk rekod, Korea Selatan mengakhiri saingan Piala Asia edisi lalu di pusingan suku akhir, manakala Jordan dan Bahrain berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Malaysia bakal bertemu Jordan dalam aksi pertama kempen Piala Asia 2023 pada 16 Januari 2024 sebelum bertemu Bahrain pada 22 Januari dan bakal menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan pada 28 Januari 2024.

Sebelum ini, skuad negara mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram