SKUAD Bawah-22 (B-22) terpaksa akur dengan kegagalan tidak layak ke pusingan akhir Sukan SEA selepas tewas dua perlawanan di tangan Thailand dan Vietnam baru-baru ini.
Walaupun berjaya menewaskan Laos dan Singapura dengan jaringan besar, anak-anak buah E.Elavarasan masih belum dapat mengulangi kejayaan Harimau Muda memenangi pingat emas pada 2011.
Dengan kegagalan pemain-pemain muda melangkah ke pentas akhir Sukan SEA, penyokong dilihat tidak dapat menerima pencapaian skuad B-22 itu.
Penyokong-penyokong bola sepak mula melontarkan idea buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mewujudkan sistem ‘homegrown player’ di Liga Super.
Reece James (kiri) dan Phil Foden (kanan) antara pemain yang didaftarkan sebagai 'homegrown player' oleh kelab masing-masing. — Agensi
Apakah itu ‘homegrown player’?
Laman Facebook Football Agent - Malaysia dalam satu hantaran menerangkan mengenai sistem 'homegrown player' ini.
"Peraturan ‘homegrown player’ merujuk kepada pemain profesional yang telah mendapat didikan bola sepak sebagai seorang pelatih di akademi kelab yang diwakili sekurang-kurangnya selama tiga tahun dari umur 15 sehingga 21 tahun.
"Peraturan ini diguna pakai di Liga Perdana Inggeris yang mana setiap kelab wajib senaraikan sekurang-kurangnya lapan pemain ‘homegrown’ dalam skuad 25 orang.
"Peraturan yang sama juga dipakai di Liga Juara-Juara Eropah anjuran UEFA dengan sedikit kelonggaran dengan pengenalan pemain ‘association-trained’," katanya di Facebook.
Barisan kesebelasan utama skuad B-22 semasa tewas di tangan Vietnam. — Facebook/FAM
Tambahnya lagi, kewujudan sistem ‘homegrown player’ dapat membantu graduan akademi kelab serta mencapai dua objektif penting untuk perkembangan pemain-pemain muda.
"Bagaimana pula di Liga Super Malaysia?
"Ketika ini tidak ada sebarang peraturan yang menjamin slot kepada graduan akademi kelab dalam senarai skuad.
"Kelab hanya perlu daftarkan 23 pemain tempatan dan maksima sembilan pemain asing sebelum musim baru MSL bermula.
"Pengenalan peraturan ‘homegrown player’ dapat capai dua objektif iaitu, memberi jaminan slot kepada graduan akademi di peringkat elit (skuad Liga Super) dan meningkatkan kualiti akademi bolasepak buat setiap kelab dan memartabatkan liga-liga pembangunan tempatan.
"Ketika ini struktur pertandingan di peringkat pembangunan adalah B-23 Piala MFL, B-20 Piala Presiden, B-18 Piala Belia, B-17 Liga KPM-FAM dan B-14 Liga KPM-FAM," jelasnya.
Skuad Harimau Muda yang kali terakhir memenangi Sukan SEA di Indonesia pada 2011. — Agensi
Menurut, Football Agent - Malaysia walaupun struktur pertandingan di peringkat pembangunan meliputi seluruh peringkat umur namun kualiti pertandingan masih dipersoalkan.
"Dengan kewajipan menyenaraikan graduan akademi, kelab-kelab akan mula fokus untuk melabur dalam empat elemen asas pembangunan bolasepak iaitu pemain , jurulatih, infrastruktur dan pertandingan.
"Permintaan untuk produk AMD juga dijangka menurun bila kelab mula fokus pada produk sendiri.
"Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi pasaran gaji pemain-pemain profesional yang berasaskan pada konsep asas penawaran dan permintaan.
"Tingkatkan kualiti dan kuantiti bekalan dan pasaran harga atau gaji akan pulih secara semulajadi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram