Risau cuaca panas, MFL perlu ubah jadual elak aksi suku akhir Terengganu-Kelantan berlangsung petang


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan skuad Sang Penyu merekodkan kemenangan 5-0. — Facebook/Terengganu FC

MUSIM ini boleh dianggap sebagai tempoh yang cukup mengecewakan buat ketiga-tiga kelab Liga Super yang berpangkalan di Pantai Timur.

Terengganu FC yang menamatkan saingan di tangga kedua liga tahun lalu dilihat bergelut apabila mereka berada di kedudukan kelapan selepas 10 perlawanan.

Isu lebih besar juga dihadapi Kelantan FC dan Kelantan United FC apabila kedua-dua pasukan itu berada di dua kelompok tercorot ketika ini.

Jadi, perubahan pastinya sedang dirancang pihak pengurusan memasuki jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dijangka berlangsung pada Julai.

Namun, sebelum fokus mereka diberikan kepada tempoh berkenaan, perhatian pastinya diberikan kepada saingan Piala FA yang bakal menemukan dua pasukan di rantau tersebut, iaitu Terengganu FC dan Kelantan FC.

Kelab-kelab itu berjaya menempatkan diri di peringkat suku akhir dengan menewaskan lawan mereka walaupun bergelut dalam saingan liga.

Malahan, pertembungan terakhir di antara kedua-dua kelab menyaksikan skuad Sang Penyu membenam Kelantan FC dengan keputusan 5-0.

Oleh itu, dengan aksi suku akhir yang bakal berlangsung pada 27 Mei, fokus pastinya diberikan pihak kejurulatihan untuk sekurang-kurangnya mencatatkan satu kenangan manis dalam musim yang bergolak.

Bagaimanapun, di sebalik aksi 'Derby Pantai Timur' itu, topik perbualan antara penyokong kedua-dua pasukan itu adalah mengenai keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan perlawanan itu pada waktu petang.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 20.44.06

Kelantan FC pastinya tidak mempunyai masalah untuk beraksi pada waktu petang.

Ia pastinya satu cabaran getir memandangkan cuaca panas ketika ini akan menjadi ujian buat semua pemain yang berada di padang.

Dalam satu kenyataan rasmi di laman media sosial rasmi Terengganu FC, rayuan daripada pihak pengurusan kelab tersebut tidak dapat mengubah keputusan awal.

Tinjauan di ruangan komen mendapati waktu permainan terbabit menerima pandangan negatif daripada penyokong kedua-dua kelab itu.

"Tak peka dengan keadaan dan cuaca panas sekarang, mereka ingat cuaca Malaysia sama seperti Jepun atau Korea Selatan untuk bermain pada waktu petang?" soal Arif Arief.

"Sekarang ini, musim panas dengan risikonya cukup tinggi. MFL perlu bertindak dengan keputusan bijak supaya perlawanan diadakan pada waktu malam," kata ZackGanu Ganukitesokmo.

"Cuaca panas ketika ini tidak sama seperti dahulu, kenapalah buat keputusan sebegitu? Kena sediakan pasukan kesihatan dengan lebih banyak jika berlaku apa-apa," kata Muhammad Razlan Abdullah.

345919255_1256802291907900_2189224860440925376_n (1)

Kenyataan media daripada MFL mengenai waktu permainan suku akhir Piala FA. Facebook/Terengganu FC

Perlawanan tersebut bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang dijangka menarik ribuan penyokong.

Terengganu FC pasti akan berusaha bersungguh-sungguh memandangkan mereka beraksi di pentas akhir musim lalu sebelum tewas dengan Johor Darul Takzim (JDT).

Bagi skuad The Red Warriors (TRW) pula, kemaraan mereka dalam Piala FA terhenti awal apabila tewas di peringkat pertama kepada Petaling Jaya (PJ) City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram