Dulu hanya pekerja sambilan di hospital, kini penyerang Harimau Malaya bakal berdepan pertahanan juara Serie A


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Darren (kiri) dan Min-jae masing-masing dijangka bakal membarisi skuad kebangsaan masing-masing pada Piala Asia 2023.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Sepertinya, itulah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan perjalanan karier bola sepak dilalui pemain kebangsaan negara, Darren Lok.

Sebagai pemain bola sepak, karier profesional Darren bermula agak lewat iaitu ketika usianya sudah mencecah 24 tahun apabila dia membuat keputusan menyertai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2016.

Sebelum itu, dia yang dilahirkan di Halisham, United Kingdom hanya bermain secara sambilan di liga separa profesional bermula pada 2013 bersama kelab Eastbourne Borough.

Pada ketika itu juga, seperti pemain lain yang beraksi di liga tersebut, dia turut perlu melakukan kerja sambilan sebagai pekerja kesihatan di hospital psikiatri Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di selatan England bagi menyara hidupnya.

Namun begitu, tidak sampai tujuh tahun beliau meninggalkan pekerjaan tersebut dengan membuat keputusan besar kembali ke Malaysia bagi menyertai liga profesional, dia telah memperolehi pelbagai pencapaian membanggakan.

Screenshot 2023-05-12 002345

Darren (kanan) ketika beraksi bersama Eastbourne Borough. — Agensi

Selain menjadi pemain tetap yang dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan sejak 2016, Darren bakal mencapai tahap baharu dalam karier bola sepaknya bersama pasukan Harimau Malaya.

Pasukan negara yang bakal beraksi pada Piala Asia AFC 2023 pada Januari tahun depan diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Melihat kepada keputusan tersebut, ia tidak mengambil masa yang lama bagi wartawan sukan negara, Keeshaanan Sundaresan untuk menyorot sekali gus memberikan penghargaan atas pencapaian Darren sebagai pemain bola sepak.

"Darren Lok bekerja di sebuah hospital sambil bermain bola sepak semi-pro, hanya beberapa tahun yang lalu.

"Jika semuanya berjalan lancar, dia akan menentang pemenang Serie A, Kim Min-jae (pemain pertahanan tengah Korea Selatan yang menjuarai Serie A bersama Napoli pada musim ini, Januari depan.

"Itu adalah sesuatu yang sangat mengujakan, ayuh!" ciapnya di Twitter yang turut mendapat hantaran balas daripada Darren yang hanya memberikan emoji gelak.

Untuk rekod, Darren merupakan antara penyerang yang dipilih untuk membarisi skuad negara sepanjang kempen kelayakan kejohanan tersebut dengan dirinya membuat penampilan dalam ketiga-tiga perlawanan dilalui negara.

WhatsApp Image 2023-05-12 at 12.23.03 AM (1)

Pada musim ini, Darren beraksi bersama Sabah FC yang merupakan antara pesaing utama Liga Super 2023. — Facebook/SabahFC

Di samping itu, dia yang kini beraksi bersama Sabah FC turut menyumbang satu jaringan bagi membolehkan Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Dengan melihat kepada rekod permainannya pada musim ini bersama Sabah FC, dia sememangnya dijangka menjadi antara penyerang utama negara bakal dipanggil untuk membarisi skuad Harimau Malaya menghadapi kejohanan tersebut.

Dalam dua perlawanan persahabatan terakhir bertaraf antarabangsa diharungi skuad kebangsaan pada Mac lalu, dia juga dipilih untuk membarisi kesebelasan utama dalam kedua-dua aksi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram