Baru juarai Serie A selepas 33 tahun, rupanya 2 bintang JDT pernah tewaskan 'kereta kebal' Napoli


  • Podium
  • Ahad, 07 Mei 2023

Min-jae menghalang pergerakan pemain Liverpool, Luis Diaz (kiri) dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL). — Agensi

SCC NAPOLI akhirnya mengesahkan kejuaraan Serie A pertama mereka dalam tempoh 33 tahun apabila jaringan Victor Osimhen memberikan satu mata berharga dalam keputusan seri 1-1 menentang Udinese, awal pagi Jumaat.

Terlepas peluang untuk memenangi kejuaraan di hadapan peminat sendiri Ahad lalu, Napoli hadir ke Dacia Arena dengan mengetahui satu mata sudah cukup untuk menjuarai Scudetto pertama sejak era Diego Maradona.

Penyokong pelawat beramai-ramai memasuki padang Arena Dacia bagi meraikan kemenangan tersebut sehingga mencetus ketegangan dengan penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati dengan pesta terbuka itu di padang mereka.

Ternyata kehadiran pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae yang menggantikan Kalidou Koulibaly sememangnya tidak menjejaskan pasukan benteng pertahanan pasukan.

Sebelum ini Min-jae beraksi di dalam Liga Turkiye bersama Fenerbache selama satu musim yang mana banyak kelab mengintai perkembangannya.

Akhirnya pemain berusia 26 tahun ini memilih untuk meyertai Napoli pada Julai tahun lalu bagi menggantikan Koulibaly yang berhijrah ke Chelsea.

Akhyar (kanan) diasak oleh Min-jae (kiri) sewaktu perlawanan Korea Selatan-Malaysia dalam kejohanan Sukan Asia 2018. — Agensi

Meskipun bergelar juara Liga Itali, namun adakah anda tahu Min-jae pernah tertewas dengan Malaysia sewaktu kejohanan bola sepak Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.

Ketika itu Safawi Rasid berjaya menjaringkan dua gol, manakala Akhyar Rashid pula banyak memberikan masalah kepada benteng pertahanan Korea yang diketuai Min-Jae.

Dalam perlawanan itu, ketua jurulatih Korea sempat menurunkan bintang utama Tottenham Hotspur, Son Heung-min tapi masih gagal menghadiahkan kemenangn ketika berdepan Malaysia.

Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Dalam kejohanan tersebut, Malaysia berjaya menjadi juara kumpulan E namun terkandas di pusingan ke-16 selepas tewas di tangan Jepun dengan keputusan 0-1.

Baru-baru ini Akhyar menjadi sebutan penyokong bola sepak selepas dia berjaya menjaringkan dua gol buat Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa bersama Turkmenistan dan Hong Kong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram