DALAM landskap bola sepak moden, pengendali terkemuka seluruh dunia sering mengingatkan bahawa seorang penyerang juga merupakan pertahanan pertama pasukan.
Walaupun pada asalnya tugas mereka adalah untuk menjaringkan gol, mereka juga perlu menggalas tanggungjawab ketika membantu pasukan bertahan.
Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok juga tidaklah terlalu berbeza dengan dia dilihat kerap melakukan tekanan kepada benteng pertahanan lawan sejak kebelakangan ini.
Meskipun gagal mencatatkan jaringan peribadi, usaha yang dipamerkan di atas padang menyaksikan Harimau Malaya menang tipis 1-0 ketika aksi persahabatan berdepan Turkmenistan Khamis lalu.
Di samping menyukarkan pihak lawan untuk merencanakan serangan, usaha Darren sepanjang berada di atas padang juga memberi ruang kepada penyerang lain mengasak benteng lawan.
Namun, menurut pemain berusia 31 tahun itu, dia berasakan sumbangannya kurang meyakinkan tetapi tetap berpuas hati dengan keputusan yang dicatatkan.
Darren Lok merupakan antara penyerang moden yang cukup prolifik.
"Permainan saya bukanlah sering berpaksi dengan jaringan gol kerana penyerang juga boleh menyumbang dalam aspek lain untuk membantu pasukannya menang.
"Sudah tentu ia merupakan tugas saya untuk menyudahkan segala peluang yang terhidang, tetapi kadang-kadang, ada juga tempoh yang mana saya tidak menjaringkan gol," katanya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu, skuad kebangsaan meraih kemenangan menerusi gol yang dijaringkan pemain sayap, Akhyar Rashid pada minit ke-29.
Anak-anak buah Kim Pan-gon akan sekali lagi diuji ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Selasa di venue sama dengan Darren juga dijangka akan tampil dalam kesebelasan utama.
"Kami tahu kualiti mereka berdasarkan pertemuan kami sebelum ini. Mereka tidak akan menganggap ini hanya sebagai satu perlawanan persahabatan," kata penyerang Sabah FC itu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung adalah ketika skuad kebangsaan menundukkan mereka 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil Jun lalu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram