Dikritik kurang ledak gol, ada sebab Darren Lok masih tak menjadi musim ini


  • Podium
  • Rabu, 12 Apr 2023

Setakat ini, Darren hanya mencatatkan dua jaringan gol untuk skuad Sang Badak dengan kedua-duanya diperolehi hasil daripada sepakan penalti.

KEGAGALAN memungut sebarang mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir menjejaskan momentum Sabah FC untuk meletakkan pasukan tersebut sebagai pesaing utama di kelompok teratas liga.

Prestasi kurang baik direkodkan itu menyebabkan skuad Sang Badak kini jatuh ke tangga ke lima liga selepas 8 dengan 14 mata, ketinggalan dua mata di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC mengisi kedudukan keempat.

Keputusan semasa diperolehi anak buah Datuk Ong Kim Swee itu dilihat merentap sedikit sebanyak moral penyokong Sabah FC.

Ia selepas pasukan itu pada awalnya menunjukkan aksi menyakinkan hasil lima kemenangan berturut-turut yang dicatatkan di awal saingan.

Selepas mengalami kekalahan pertama ketika menentang Johor Darul Takzim dengan jaringan besar 4-0, skuad Sang Badak masih bergelut untuk mengembalikan momentum kemenangan.

sabah

Skuad Sang Badak masih bergelut untuk mengembalikan momentum kemenangan apabila merekodkan dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir liga. — Facebook/SabahFC

Dua aksi berikutnya menyaksikan pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu terus keciciran mata apabila tewas di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0 diikuti keputusan seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan FC.

Prestasi semasa dipamerkan itu tentunya mengundang kritikan daripada penyokong yang pastinya mengharapkan keputusan lebih baik daripada pasukan yang menduduki tangga ketiga liga pada musim lepas.

Antara yang menjadi mangsa kritikan tersebut ialah pemain di barisan hadapan Sabah FC yang juga pemain kebangsaan, Darren Lok yang disifatkan masih belum memenuhi potensi sebenar dalam sumbangannya kepada pasukan.

Setakat ini, dia hanya mencatatkan dua jaringan gol untuk skuad Sang Badak dengan kedua-duanya diperolehi hasil sepakan penalti.

"Darren Lok masa di kelab lamanya dia adalah penjaring utama. Kenapa di Sabah yang dibarisi pemain-pemain hebat dia agak tumpul," ujar Hariantos Mario.

Ketika beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC pada musim lepas, Darren yang kini berusia 31 tahun berjaya menghasilkan 15 jaringan dan dua bantuan gol daripada 33 penampilannya.

Mengulas mengenai prestasi semasa pemain berdarah campuran Malaysia-England itu, beberapa penyokong berpendapat aksi kurang menyakinkan itu berpunca daripada beberapa faktor.

Ia antaranya disebabkan ketidaksesuaian taktikal diterapkan pasukan dan ketiadaan gandingan yang serasi.

PETALING JAYA, 13 Mac -- Pemain PJ City FC Darren Yee Deng Lok meraikan gol ketika menentang Kelantan FC pada aksi Piala FA Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.Keputusan separuh masa pertama PJ City FC 1-1 Kelantan FC.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Darren merupakan penjaring utama pasukan PJ City pada musim lepas dengan rekod 15 jaringan daripada 33 perlawanan bersama pasukan. — Bernama

"Isunya adalah taktikal. Darren Lock solo di depan, tidak ada bantuan. Dia terpaksa turun dan bawa sendiri (bola) ke depan. Taktikal kena tukar.

"Bukan saja kelab lama, dalam pasukan kebangsaan pun dia dapat menjaringkan gol sebab ada Faisal Halim atau Safawi Rashid sebagai gandingan," kata Onn Norshal Hamzah.

Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Mustari Umar yang berkata, "Setuju. Kalau ada hantaran pun asyik long ball saja. Formasi 343 ini, bahagian tengah mesti kuat. Tapi balik-balik hantar bola terus dari pertahanan ke penyerang."

Muhammad Amirul pula menulis, "Darren macam Safee Sali (bekas penyerang Malaysia), ade hantaran cantik, adalah jaringan. Kalau nak tunggu dia all out susah sikit."

Untuk rekod, Darren mencatatkan tiga jaringan sepanjang 17 penampilannya bersama skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram