Tak sampai 6 bulan, Harimau Kumbang tamatkan kontrak 2 import


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Penang FC kini berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan kutipan 14 mata. — Facebook/PenangFC

PENANG FC menjadi pasukan kedua selepas Sabah FC yang mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat tonggak import mereka menjelang jendela perpindahan kedua pada Jun nanti.

Menerusi laman media sosial rasmi Harimau Kumbang, dua tonggak import yang ditamatkan kontrak ialah Curt Dizon dan An Sae Hee walaupun tidak sampai semusim bersama pasukan berpangkalan di utara tanah air itu.

Menurut hantaran tersebut, perkara tersebut juga mendapat persetujuan daripada kedua-dua pemain yang mana mereka memutuskan untuk tidak akan bersama pasukan bagi baki saingan musim 2023 ini.

sae hee

Sae-hee pemain pertama yang dilepaskan Penang FC musim ini. — Facebook/PenangFC

“Pemain import Penang FC dari Korea, An Sae-hee telah mencapai persetujuan dengan kelab untuk menamatkan kontraknya atas dasar persetujuan bersama dan tidak akan bersama pasukan bagi baki saingan musim 2023 ini. Selamat maju jaya An Sae Hee.

“Pemain import Penang FC dari Filipina, Curt Dizon telah mencapai persetujuan dengan kelab untuk menamatkan kontraknya atas dasar persetujuan bersama dan tidak akan bersama pasukan bagi baki saingan musim 2023 ini. Selamat maju jaya Curt Dizon,” tulis Facebook rasmi Penang FC.

zon

Dizon hanya sempat beraksi dalam satu penampilan bersama Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC

Sejak dibawa masuk pada awal Januari 2023, pemain import dari Korea Selatan, Sae-hee dan Dizon hanya tampil dalam satu perlawanan Liga Super bersama Harimau Kumbang.

Dizon merupakan salah satu tonggak serangan kebangsaan Filipina yang sebelum ini beraksi bersama United FC namun kehadiran penyerang seperti Soony Saad seperti menyekatnya untuk memikat hati barisan kejurulatihan.

Manakala, Sae-hee pula merupakan bek tengah bagi pasukan liga satu Vietnam iaitu Hoang Anh Gia Lai FC sebelum dibawa masuk ke skuad Harimau Kumbang.

Selepas kehilangan Sae-hee dan Dizon, Penang hanya mempunyai seramai tujuh tonggak import iaitu Rafael Vitor, Zaw Min Tun, Ryu Yamaghuci, Ousmane Fane, Adriano, Giovane Gomes dan penyerang, Soony Saad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram