Bojan kekal seorang optimis di sebalik kepayahan, derita awal musim


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Bojan Hodak lega dengan tempoh rehat tiga minggu yang diberikan MFL bagi memberi laluan kepada skuad B-22.

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SEMAKIN selesa di tangga keenam ketika ini, Bojan Hodak tidak dapat menghindarkan diri daripada membuat perbandingan dengan dua musim berturut-turut sebelum ini apabila Kuala Lumpur City FC (KLC FC) kendaliannya berkesudahan di tangga berkenaan.

Mengakui teruja dapat mencapai kedudukan itu ketika menghampiri garis pertengahan liga berbanding pada penghujung musim, jurulatih itu turut mengajak penyokong mengimbas semula ‘derita’ awal musim yang diharungi mereka agar kedudukan ketika ini dapat dihargai.

Skuad Warga Kota itu mengharungi rentetan lima perlawanan pertama tanpa kemenangan, yang hanya dapat diakhiri dalam kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Bola Sepak Cheras pada 5 April lalu.

“Ini harus rentetan terpanjang tanpa kemenangan yang pernah saya lalui sebagai jurulatih,” katanya ketika itu.

Sejak itu, KLC FC seakan-akan enggan menoleh ke belakang lagi, dengan menjadikan siri kekalahan berkenaan sebagai pengajaran berguna untuk ia kemudian ditukar-ganti dengan empat kemenangan berturut-turut.

“Saya harus katakan yang tangga keenam ketika ini dapat kami capai lebih awal daripada dijangkakan,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

“Dibandingkan dengan musim-musim terdahulu apabila kami menghambat kedudukan itu, kali ini kami pula dihambat lapan pasukan di bawah kami.”

Berbaki empat perlawanan dalam pusingan pertama liga, KL City FC sudah pun berdepan empat daripada enam ‘lawan besar’ – Johor Darul Takzim (JDT) 0-3, Terengganu FC 0-0, Selangor FC 1-3 dan Sabah FC 2-0 – meninggalkan hanya Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC dalam laluan mereka.

“Saya sasarkan untuk kami menang semua baki empat perlawanan kami, dimulai dengan menentang Negeri Sembilan FC (Ahad ini),” katanya.

KL City vs PDRM

Pemain-pemain KL City meraikan jaringan gol oleh Tchetche Kipre semasa menentang PDRM FC pada Khamis.

Sekilas pandang ke papan keputusan dan carta liga akan menunjukkan bahawa daripada kelompok enam teratas, KLC FC memiliki jumlah jaringan terendah dengan 14 gol -- Paulo Josue memimpin senarai dengan empat gol, Tchetche Kipre (3), Romel Morales (2) manakala selebihnya daripada Declan Lambert, T. Saravanan, Sean Giannelli, Sebastian Avanzini dan Herlison Caion.

Juga skuad Warga Kota itu dicemari rekod bolos tertinggi dengan 12 gol dalam kalangan enam pasukan teratas, terutama selepas penjaga gol, Kevin Mendoza – pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 – terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

“Saya harus terima hakikat itu dan kami akan berusaha untuk melakukan yang lebih baik,” ujarnya.

Bojan menghuraikan: “Sebelum musim ini bermula lagi, saya sudah katakan kebanyakan pasukan lain memiliki bajet yang lebih besar daripada kami.

“Perkara itu adalah sesuatu yang biasa buat kami dan menuntut pemain-pemain saya melipatgandakan usaha untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lawan.

“Di sebalik kekangan itu, ditambah dengan senarai kecederaan... jangan lupa kami juga kehilangan beberapa pemain musim lalu, kami sudah melakukan yang terbaik.

“Dibandingkan dengan kedudukan di peringkat ini pada musim lalu, kami juga telah menunjukkan peningkatan dan jangan lupa juga, liga belum pun sampai ke garis pertengahannya.”

Ini merupakan tahun ketiga Bojan Hodak bersama KL City.

Lega dengan tempoh rehat tiga minggu untuk meluangkan kepada penyertaan skuad B-22 negara dalam Sukan SEA Kemboja yang kegagalan mereka disifatkannya mendedahkan kurangnya penekanan kepada pembangunan di peringkat belia, Bojan memiliki sebab untuk meyakini pasukannya harus lebih baik dalam pusingan kedua liga.

Jurulatih berbangsa Croatia berusia 52 tahun itu sudah kerap mengatakan yang pasukannya lambat panas, namun sebelumnya telah membuktikan pusingan kedua yang berbaki 13 perlawanan lazimnnya akan menyaksikan mereka beransur-ansur mendaki carta.

“Saya tidak melihat apa-apa yang berbeza, biarlah kami habiskan baki empat perlawanan ini dahulu dan lihat sejauh mana ia akan membawa kami.

“Cuma, usaha pendakian kami bermula sedikit awal musim ini dan saya harapkan ia akan berterusan dan bukannya terencat,” tambahnya.

Berbanding pasukan-pasukan besar yang sudah mula mencongak-congak rombakan pemain dalam jendela perpindahan kedua Julai ini, Bojan seakan-akan tidak begitu berminat, dengan menyerahkan kepada masa dan keadaan untuk menentukan.

“Masih terlalu awal untuk membincangkannya dan saya hanya akan berbuat sesuatu apabila tiba waktunya.

“Pada waktu ini, saya lebih menumpukan kepada pemulihan Kevin (Mendoza) dan Patrick (Reichelt) yang masih menjalani rawatan. Kembalinya kedua-duanya nanti akan tambah menstabilkan pasukan kami,” katanya.

Romel Morales (kiri) dan Ryan Lambert (kanan) dalam satu sesi latihan bersama pasukan pada Selasa.

Untuk berdepan Negeri Sembilan FC, mereka akan kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Kenny Palraj, 30, gara-gara penggantungan tiga kad kuning manakala pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco, yang dilayangkan kad merah ketika berdepan PDRM FC, 27 April lalu, masih boleh diturunkan kerana ia adalah perlawanan yang tertangguh.

Tiga mata daripada satu-satunya perlawanan yang dijadualkan semula Ahad ini akan merapatkan KLC FC dengan Kedah FC selain membuka jurang lebih besar dengan Penang FC di tangga ketujuh.

“Saya tidak begitu bimbang apabila kami berdepan lawan besar kerana saya tidak perlu memotivasikan pemain-pemain saya. (Sebaliknya) saya khuatir mereka akan mengambil mudah ketika menghadapi pasukan daripada kelompok bawahan,” katanya lagi.

Namun, menepati resminya sebagai seorang optimis, kata-katanya itu mungkin sekadar perang psikologi atau satu lagi daripada tipu-dayanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram