'Murah tapi berbaloi', fans TRW petik 3 bintang Liga M3 berpotensi bantu Kelantan FC


  • Podium
  • Isnin, 08 Mei 2023

Hafiz Kamal menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dalam kejohanan Piala Sumbangsih bersama Selangor ketika menentang JDT pada 2016 di Stadium Larkin, Johor.

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Selain daripada import, beberapa pemain tempatan yang berstatus bintang juga masih belum mempunyai pasukan.

Namun penyokong Kelantan lebih cenderung untuk melihat beberapa bintang Liga M3 untuk beraksi bersama pasukan mereka.

Selain itu pasukan yang dilihat bergelut ataupun inginkan rombakan kecil boleh mendapatkan pemain-pemain yang sudah terbukti mempunyai pengalaman beraksi di Malaysia.

Malah senarai pemain Liga M3 ini boleh didapati dengan bajet yang kecil namun memiliki kualiti pemain kebangsaan.

Majoriti senaraikan tiga bintang Liga M3 yang menjadi idaman penyokong The Red Warriors (TRW) menjelang jendela perpindahan kedua liga:

Hafiz Kamal mempunyai tendangan kaki kiri yang boleh memberi ancaman untuk pihak lawan. — Facebook/Imigresen FC

1. Hafiz Kamal

Siapa tidak kenal dengar pakar sepakan percuma yang pernah mencipta nama bersama pasukan Pahang, Selangor dan Perak ini.

Hafiz Kamal antara pemain tengah yang mempunyai tendangan kaki kiri yang boleh memberi ancaman untuk pihak lawan.

Musim ini Hafiz Kamal berhijrah ke Imigresen FC daripada Kuala Lumpur Rovers yang sedang beraksi di Liga M3.

Dengan bajet yang kecil, Hafiz Kamal mungkin antara individu yang mampu membantu TRW kembali bersaing di dalam Liga Super.

Pengalaman luas bersama beberapa pasukan Liga Super merupakan antara kelebihan yang dimilikinya untuk membantu Frank Berndhart memperbaiki pasukan.

Syahmim antara pemain sayap yang berbahaya di dalam Liga Malaysia dengan hantaran bola ke dalam kotak penalti pihak lawan. — Facebook/Imigresen FC

2. Syahmim Yahya

Kali terakhir beraksi di di peringkat tertinggi Liga Malaysia ialah bersama Perak FC pada musim lalu sebelum dilepaskan oleh pihak pengurusan.

Ketika zaman kegemilangannya, Syahmim antara pemain sayap yang berbahaya di dalam Liga Malaysia dengan hantaran bola ke dalam kotak penalti pihak lawan.

Kini berusia 32 tahun, pastinya bekas pemain Melaka United ini kaya dengan pengalaman untuk membantu skuad kendalian Frank Berndhart memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Musim ini Syahmim beraksi bersama Imigresen FC selepas dilepaskan oleh Perak FC.

Hafizul Hakim boleh menjadi aset utama skuad TRW. Facebook/Harini FT

3. Hafizul Hakim

Bekas penjaga gol kebangsaan, Hafizul Hakim boleh menjadi aset utama skuad TRW bagi memperbaiki kelemahan di benteng terakhir pasukan itu.

Hafizul yang sebelum ini beraksi bersama Penang FC telah dilepaskan oleh pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang sebelum menyertai Harini FT dalam Liga M3.

Pemain berusia 30 tahun antara calon sesuai buat Frank Berndhart bagi mempunyai seorang penjaga gol berkualiti yang tidak mempunyai nilai terlalu tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram