Lantai gelanggang didakwa guna tikar getah, rakyat perli Sukan SEA Kemboja sekadar level daerah


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Salah sebuah venue Sukan SEA yang dipercayai menggunakan tikar getah.

BELUM lagi cukup seminggu selepas acara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-32 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja pada Sabtu.

Kini sudah banyak kontroversi yang timbul antaranya ialah pihak penganjur mengibar bendera Indonesia secara terbalik sehingga memaksa Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) memohon maaf secara terbuka.

Selain itu, makanan yang disediakan pihak penganjur kepada atlet di perkampungan sukan sempena kejohanan dwi tahunan di Kemboja itu turut mendapat kritikan apabila mereka diberi makanan dengan diet kurang seimbang.

Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol, memuat naik gambar memaparkan atlet kebangsaan hanya diberi makan nasi putih, sumber protein, betik dan tembikai.

Selain dua isu berkenaan, terkini timbul isu di venue perlawanan apabila pihak penganjur dilihat seolah-olah menggunakan tikar getah dipercayai di gelanggang bola keranjang.

Dengan bajet lebih RM500 juta untuk persiapan venue dan penyediaan makanan oleh pihak penganjur kepada atlet-atlet negara ia agak jelas mengambarkan Kemboja masih belum bersedia menjadi tuan rumah untuk acara itu.

WhatsApp Image 2023-05-10 at 8.32.24 AM

Venue yang disediakan oleh pihak penganjur dalam Sukan ke-32.

Rakyat Malaysia turut mengkritik venue yang disediakan oleh tuan rumah dengan mengatakan mereka juga boleh menganjurkan Sukan SEA sekirannya kualiti tempat pertandingan hanya menggunakan tikar getah.

"Nak jadi tuan rumah tapi persiapan macam level daerah," kata Fadzlee Hashim.

"Kalau macam ini rumah aku pun boleh anjurkan Sukan SEA," ujar Hafiz Zaini.

"Baik hapuskan terus Sukan SEA ini, sekadar nak emas bola sepak dengan juara keseluruhan sahaja, sukan-sukan merepek dimasukkan ikut kehendak tuan rumah," jelas Shafique Effendie.

"Jika negara tersebut tidak mampu untuk menyediakan kemudahan, ada baiknya, urus setia Sukan SEA, berikan hak penganjuran kepada negara lain dulu," luah Aisyah Sejukbeku.

Malah ada juga sempat berseloroh gelanggang yang disediakan oleh pihak penganjur ialah 'Court Rahmah' dengan menggunakan tikar getah untuk dijadikan venue pertandingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram